fbpx

Tonik terbaik sebelum ke Piala Dunia 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAYBANK berjaya mencipta sejarah baharu menjuarai MIHL 2024 selepas menewaskan TNB di pentas final pada Sabtu lalu. - MHC

SKUAD hoki dalam dewan negara mendapat suntikan moral dalam persiapan ke Piala Dunia 2025 yang akan berlangsung di Porec, Croatia pada Februari tahun depan apabila bakal memiliki gelanggang latihan sendiri.

Ia adalah hasil usaha Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang sudah menandatangani perjanjian persefahaman bersama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi menggunakan Dewan Sri Putra di Bukit Jalil sebagai pusat latihan skuad hoki dalam dewan kebangsaan.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal menjelaskan, pihaknya akan memohon bantuan Majlis Sukan Negara (MSN) atau PSM bagi membina permukaan gelanggang yang memenuhi piawaian Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dengan anggaran RM300,000.

“MHC akan cuba mohon bantuan MSN atau PSM dalam masa terdekat, kalau tidak minggu ini atau minggu depan. Saya akan cuba berjumpa dengan YB Menteri (Hannah Yeoh) untuk mohon kalau boleh beri sedikit peruntukan.

“Jika tidak ada (bantuan), kami akan cuba mencari jalan lain,” katanya selepas menyaksikan perlawanan akhir Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia (MIHL) 2024 di Pusat Sukan IOI, Putrajaya pada Sabtu lalu.

Meskipun berdepan kekangan, namun Subahan memberi jaminan akan cuba memastikan venue latihan di Dewan Sri Putra dapat digunakan menjelang akhir tahun ini dengan skuad negara tidak perlu lagi berlatih di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Ia penting bagi memastikan pemain-pemain negara menjalani latihan di tempat lebih kondusif dalam usaha memburu keputusan terbaik dalam penampilan sulung pada Piala Dunia nanti.

Malaysia berdepan laluan sukar pada aksi Piala Dunia 2025 apabila diundi dalam Kumpulan B yang turut dibarisi pasukan No. 2 dunia, Iran, Jerman (No. 5) dan Argentina (No. 12).

Sebagai rekod, Malaysia dianggap antara pasukan terbaik yang akan beraksi di Piala Dunia nanti selepas muncul naib juara Piala Asia 2024 di Taldykorgan, Kazakhstan pada Mei lalu.

INFO PIALA DUNIA 2025

KUMPULAN A
AUSTRIA, CROATIA, POLAND, AFRIKA SELATAN

KUMPULAN B
ARGENTINA, JERMAN, IRAN, MALAYSIA

KUMPULAN C
AUSTRALIA, BELGIUM, NAMIBIA, TRINIDAD AND TOBAGO

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI