PETALING JAYA – Semakin ramai rakyat Malaysia kini meluahkan rasa tidak puas hati terhadap waktu daftar masuk dan daftar keluar di inap desa dan hotel tempatan, dengan tempoh masa pembersihan bilik yang dianggap terlalu lama menjadi punca utama.
Menerusi sebuah hantaran TikTok oleh Zafri Halim, beliau menyatakan bahawa kebanyakan ‘homestay’ dan hotel mengambil masa yang terlalu lama untuk membersihkan bilik yang telah diduduki.
Bukan itu sahaja, waktu ‘cleaning’ itu menyebabkan tetamu terpaksa mendaftar masuk lambat tetapi harus mendaftar keluar seawal pagi.
“Bayangkan check-in, kita kena sampai paling awal pun 4 petang, ada yang 3 petang. Check out pula ada yang 12 tengah hari, ada yang lebih awal iaitu 11 pagi. Jadi, kita duduk hotel ni hanya untuk tidur dan breakfast semata-mata. Hanya untuk bermalam sahaja.
“Saya tahu memang ada waktu untuk cleaner (tukang bersih) datang kemaskan bilik semua tapi takkan lah kemas bilik sampai empat jam. Negara-negara lain sekejap saja jangka masanya. Tak perlu sampai empat jam,” jelasnya.
Beliau turut menyarankan agar pihak pengurusan hotel dan inap desa menyemak semula jadual pembersihan dan menyesuaikannya agar lebih fleksibel dan tidak menyusahkan tetamu.
Sementara itu, ramai pengguna media sosial yang bersetuju dengan pendapat yang dikemukakan oleh lelaki terbabit di ruangan komen hantaran tersebut.
“Betul tu pendek sangat masa kita menginap kat hotel atau ‘homestay’ tapi harga makin mahal,” komen Rasidah.
“Ada hotel yang kedekut ambil pekerja macam hotel bajet, seorang sahaja kemas bilik yang banyak. Sebab itu lambat siap kemas, sebab tu lah check-in ada yang lambat. Kemas seorang sahaja, pukul berapa nak siap. Saja cakal sebab dulu saya kerja housekeeping (pengemasan rumah),” ujar Nolin.
“Betul mengarut. Baik bercuti di luar negara,” komen Azmi. – KOSMO! ONLINE.