fbpx

Sikap profesional DinFei dapat pujian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SZE FEI (kiri) dan Izzuddin menjadi beregu lelaki pertama menjuarai Terbuka China dalam tempoh 35 tahun selepas Jalani-Razif pada 1989. - AFP

TIDAK ada jeritan kepuasan mahupun reaksi luar biasa ditunjukkan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani ketika muncul juara pada Kejohanan Badminton Terbuka China kelmarin.

Sebaliknya, gandingan No. 12 dunia itu dilihat lebih bersahaja ketika menamatkan aksi final dengan menewaskan beregu tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu menerusi keputusan tiga set 13-21, 21-12, 21-17.

Ia sebagai tanda penghormatan serta simpati terhadap kecederaan belakang yang dialami Xiang Yu sebaik tamat aksi set pertama sehingga menyaksikan pemain berusia 26 tahun itu diberikan rawatan di tepi gelanggang.

Justeru, tindakan tidak meraikan kemenangan yang dipamerkan Sze Fei-Izzuddin yang terkenal dengan gelaran ‘DinFei’ mendapat pujian selain dianggap menunjukkan semangat kesukanan cukup tinggi biarpun baru sahaja menjulang kejuaraan Jelajah Dunia Super 1000.

“Ini bukanlah cara yang kami mahukan bagi mendapatkan kemenangan. Saya mendoakan supaya Xiang Yu segera pulih,” kata Sze Fei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas majlis penyampaian hadiah.

Kemenangan itu boleh dianggap sebagai pencapaian bersejarah memandangkan Sze Fei-Izzuddin merupakan beregu pertama Malaysia yang berjaya meraih kejuaraan pada kejohanan bertaraf Super 1000.

Sebelum ini, hanya perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia merupakan pemenang Super 1000 sejak Jelajah Dunia BWF diperkenalkan pada 2018 apabila memenangi All England 2021.

Pada masa sama, Sze Fei-Izzuddin turut menjadi beregu lelaki pertama negara yang menjuarai Terbuka China dalam tempoh 35 tahun selepas kali terakhir dimenangi pasangan legenda tanah air, Datuk Seri Jalani Sidek dan Datuk Razif Sidek pada 1989.

Selaku juara, bekas pemain naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu membawa pulang hadiah wang tunai AS$148,000 (RM622,340) berserta trofi, manakala Ji Ting-Xiang Yu berpuas hati dengan AS$70,000 (RM294,350) dan juga trofi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI