PETALING JAYA – Sehari sebelum sebutan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari yang bakal berlangsung esok, pelakon Fattah Amin berkongsikan gambar bersama anak perempuannya iaitu Nur Fatima Aisya.
Fattah, 34, berbuat demikian di ruangan Insta Stories yang menunjukkan foto dia sedang mencium pipi anaknya sementara Fatima membuat isyarat tangan dengan simbol hati.
Tanpa memberikan sebarang kenyataan, Fattah hanya meletakkan emoji hati berwarna biru pada gambar tersebut.
Pada 13 September lalu iaitu sehari sebelum sambutan ulang tahun Fattah, Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 40, memfailkan cerai terhadap suaminya di mahkamah sama.
Fattah bagaimanapun memaklumkan dia terkejut menerima berita isterinya memfailkan perceraian dan hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial.
Akui Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin dia mencintai isterinya dan menegaskan tiada wanita lain seperti dihebohkan di media sosial.
Pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah turut mengharapkan tiada campur tangan daripada pihak ketiga yang boleh mengeruhkan situasi rumah tangga mereka.
Sementara itu, pihak pengurusan Fazura menerusi pengurusnya iaitu Iman Tang menafikan dakwaan pelakon itu pernah mengeluarkan sebarang kenyataan tentang tindakannya yang membuat permohonan cerai.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 manakala hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Nur Fatima Aisya, 3. – KOSMO! ONLINE