ALOR SETAR – Dua beranak yang menjadi mangsa banjir baru-baru ini diuji sekali lagi selepas rumah mereka di Kampung Tongkang Yard, di sini musnah dalam kebakaran pagi ini.
Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, Salmah Hassan, 73, dan anaknya, Siti Nazila Rosli, 31, tiada di rumah kerana menguruskan urusan berpindah ke rumah sewa di Jalan Langgar, di sini.
Menurut Salmah, rumah didiami mereka itu baru sahaja surut banjir pada petang semalam.
“Secara kebetulan memang kami dalam proses berpindah ke rumah baharu, jadi ada barang yang sudah diangkat ke sana tetapi peti ais yang tenggelam banjir baru-baru ini masih berada dalam rumah ini.
“Saya terkejut apabila jiran hubungi rumah kami terbakar. Lemah lutut menerima ujian bertimpa-timpa ini. Rumah baru nak kering air, tetapi hari ini hangus terbakar,” katanya semalam.
Jelasnya, dia reda dengan kejadian itu dan menerimanya sebagai ujian.
“Saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya Allah selamatkan nyawa saya dan anak. Jika tidak berlaku banjir ini mungkin kami terus duduk di sini,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Wan Azizul Hakim Wan Jaafar berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal api.
“Bahagian atas rumah kayu menyebabkan api marak dengan begitu cepat. Kita bersyukur api tidak merebak ke rumah berdekatan. Sekarang kita perlu pastikan bara api padam sepenuhnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.- KOSMO! ONLINE