IPOH – Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Perak mengadakan lawatan kebajikan ke atas pegawai polis serta dua anak pegawai dan anggota yang mengalami masalah kesihatan baru-baru ini.
Lawatan ke atas warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung itu diketuai oleh Pengerusi Perkep Kontinjen Perak, Datin Wanita Wari bersama 15 ahli.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, lawatan tersebut diadakan bagi memberi sokongan moral dan tanda prihatin Perkep Perak kepada pegawai dan anggota serta ahli keluarga yang menderita sakit.
Katanya, usaha itu juga menjadi satu platform dalam merapatkan ukhwah silaturrahim antara Perkep dan warga polis Perak.
“Dalam kesibukan tuntutan tugas para suami, Perkep sebagai tulang belakang mengambil inisiatif menyantuni warga polis Perak dengan mendekati dan menziarahi mereka yang berdepan kesukaran,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, ziarah kali ini melibatkan kunjungan ke atas Asisten Superintendan Mohd. Zulkifli Daud dari Bahagian Perlesenan Pengurusan IPD Manjung di kediamannya di Kampung Jering, Ayer Tawar di Manjung.
Katanya, Mohd. Zulkifli yang kini dalam cuti sakit, menghidap kanser kelenjar pankreas dan masih menerima rawatan kemoterapi di Hospital Beacon, Petaling Jaya.
“Turut disantuni dalam lawatan kali ini ialah anak kepada Koperal Hajizol Tahm dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Manjung, Nurfarah Najua, 18, yang mengalami kecacatan fizikal.
“Selain itu, kita turut melawat anak kepada Asisten Superintendan Fahruzziat Zakaria dari Cawangan Khas IPD Manjung, Danish Haikal, 15, yang cedera akibat kemalangan dan menjalani pembedahan di Hospital KPJ Manjung,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE