IPOH – Pendaftaran syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) boleh dibatalkan sekiranya disabitkan kesalahan atas aktiviti-aktiviti yang melanggar kepentingan awam dan peraturan-peraturan semasa.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kementeriannya menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan bahagian penguatkuasaan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membantu siasatan terhadap GISBH.
Kementerian juga memberi perhatian terhadap dakwaan tentang usaha dan cubaan yang dibuat untuk melindungi atau menghilangkan identiti GISBH seperti pertukaran papan nama premis serta perniagaan.
“Kita melihat pertama dengan PDRM, kedua dengan MCMC untuk kita menyelaraskan apakah bentuk kesalahan yang dilakukan dan apakah bentuk tindakan dan punca perundangan mana untuk kita mengambil tindakan yang segera,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Menara SSM Perak di sini hari ini yang berkenan disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Dalam pada itu, Armizan berkata, siasatan GISBH di peringkat kementeriannya adalah terkait dengan akta-akta di bawah kawal selia SSM.
“Kita sedang menyemak semua pendaftaran syarikat-syarikat induk dan anak-anak syarikat termasuklah pematuhan mereka kepada penghantaran laporan tahunan, penyata kewangan dan sebagainya,” katanya. – KOSMO! ONLINE