fbpx

Pemilikan tanah punca rumah warga emas ‘tenggelam’ 20 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD NOOR HELMY (empat dari kanan) meninjau kerja-kerja pembersihan saliran dilakukan di Pengkalan Rama Tengah, Melaka.

MELAKA – Pemilikan tanah yang dikesan masih di bawah penama generasi pertama antara punca kerja-kerja naik taraf perparitan sukar dilakukan bagi menangani isu banjir kilat di Pengkalan Rama Tengah, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abd. Halem berkata, isu banjir kilat tersebut telah membelenggu penduduk di kawasan itu sejak lebih 20 tahun lalu, yang rata-rata penghuni kini merupakan warga emas.

Jelasnya, usaha menaiktarafkan sistem perparitan di kawasan tersebut sukar dilakukan apabila berdepan dengan pelbagai halangan termasuklah pemilik tanah telah meninggal dunia serta gagal dijejaki bagi mendapatkan persetujuan pembinaan.

“Isu ini kita warisi sejak dulu lagi bila kawasan bandar dan kampung mengalami pembangunan tak terancang sehingga ada ada sesetengah kawasan dipulaukan, sekali gus longkang sedia ada ini tidak dapat menampung isi padu air.

“Kita hadapi masalah lain selain kewangan, pemilikan tanah ini masih nama generasi pertama yang telah meninggal dunia, warisnya mungkin ada tapi menetap di luar negara dan sebagainya malah ada yang menyewa di sini pada kadar lama iaitu RM80 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja-kerja pembersihan longkang di Pengkalan Rama Tengah, di sini.

Tambahnya, sejak awal bulan ini banjir kilat telah melanda kawasan tersebut sebanyak tiga kali dan menjejaskan kira-kira 50 buah rumah dengan situasi bah mencecah paras 0.6 meter.

Ujarnya, kini pelbagai agensi termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) Perbadanan Pengurusan Sisa Pe­pejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sedang meneliti penyelesaian yang boleh dilaksanakan.

“Kita sedang mendapatkan nasihat secara kolektif daripada mereka untuk melaksanakan penyelesaian paling tidak bagi jangka masa pendek melambatkan bencana banjir kilat ini mengikut kekangan ruang dan kewangan ketika ini.

“Dahulu longkang monsun di sini dapat selesaikan sesetengah perkara, kini tidak lagi mungkin disebabkan pertambahan pembangunan tidak terancang,” ujarnya.

Tambahnya, kerja-kerja pembersihan oleh pihak konsesi yang berbeza-beza turut menyebabkan penduduk keliru dengan jadual penyelenggaraan saliran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI