PETALING JAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hari ini menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah dan Pulau Pinang.
Menerusi hantaran di Facebook, Fadhlina berterima kasih kepada semua agensi terlibat terutama warga pendidikan yang bertungkus-lumus menyediakan kemudahan di PPS terpilih.
“Hujan renyai menyambut kehadiran saya ke Kedah bagi lawatan kerja ke Pusat Pemindahan Sementara SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman. Saya rakamkan ucapan terima kasih kepada semua agensi pusat khususnya yang bertungkus-lumus menyediakan segala keperluan rakyat di PPS ini.
“Sekalung penghargaan juga ditujukan khas buat pasukan Academic Support Team dan Smart Support Team PPD/JPN yang telah memastikan pendidikan anak-anak di PPS tidak terjejas sekalipun ditimpa bencana,” katanya.
Jelasnya, atas tujuan sama, lawatan kerja tersebut adalah untuk memastikan PPS dalam keadaan kondusif dan bersedia menerima penghuninya.
“Sumbangan daripada Yayasan Guru Tun Hussein Onn dihulurkan kepada pihak sekolah dan wakil dari Maahad Dehrang yang terkesan banjir.
“Semoga Allah SWT memberikan kesabaran buat kita semua baik pemimpin mahupun rakyat dalam menempuh ujian bencana bah,” katanya. – KOSMO! ONLINE.