fbpx

Lelaki tetak bapa guna pisau pemotong daging diperintah bela diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Istana Negara - GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Seorang lelaki yang sebelum ini dibebaskan daripada pertuduhan membunuh bapa kandung dengan menetaknya menggunakan pisau pemotong daging, diperintah oleh Mahkamah Rayuan membela diri terhadap pertuduhan tersebut.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membenarkan rayuan pendakwa raya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Jamil Tawasil, 39, daripada pertuduhan berkenaan di akhir kes pendakwaan.

Pada November 2023, Pesuruhjaya Kehakiman Dr. Wendy Ooi Su Ghee membebaskan Jamil selepas berpuas hati tertuduh berada dalam keadaan tidak waras ketika kejadian dan tidak berupaya mengetahui perbuatannya itu berlawanan dengan undang-undang.

Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Ahmad Zaidi berkata, Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila membebaskan responden (Jamil) tanpa memanggilnya membela diri.

“Pada pandangan kami, laporan psikiatri responden (D46) tidak mencukupi bagi menunjukkan dia mengalami gangguan mental di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan yang mana pihak pendakwaan tidak berpeluang mencabar laporan itu.

“Oleh itu, rayuan perayu dibenarkan dan responden diperintah membela diri. Kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan di hadapan pesuruhjaya kehakiman sama,” ujar beliau.

Hakim Ahmad Zaidi yang turut bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin kemudian menetapkan 8 Oktober ini untuk sebutan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mengikut pertuduhan, Jamil didakwa membunuh Tawasil Sinag, 68, di sebuah rumah di Taman Puteri Taragon, Batu 9 Cheras, Hulu Langat dekat sini, antara pukul 11 malam dan 11.15 malam, 9 November 2019. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI