BEIRUT – Serangan udara tentera Israel ke atas Lebanon mengorbankan sekurang-kurangnya 492 orang semalam termasuk 35 kanak-kanak, kata kementerian kesihatan sekali gus menandakan hari paling dahsyat bagi keganasan rentas sempadan sejak perang Gaza bermula.
Israel berkata, ia membunuh ‘sebilangan besar’ anggota pejuang Hizbollah apabila ia menyasarkan kira-kira 1,600 lokasi di selatan dan timur Lebanon.
Ia termasuk serangan di Beirut dalam apa yang disebut oleh tentera Rejim Zionis sebagai ‘Operasi Panah Utara’.
Media Lebanon melaporkan serangan baharu di timur negara itu, manakala menurut Hizbollah, ia menyasarkan lima lokasi di Israel.
Kementerian Kesihatan Lebanon berkata, serangan itu membunuh 492 orang termasuk 35 kanak-kanak dan 58 wanita, serta mencederakan 1,645 yang lain. Menteri Kesihatan, Firass Abiad menjelaskan, ribuan keluarga telah dipindahkan.
Hizbollah, yang bertukar serangan hampir setiap hari dengan Israel bagi menyokong Hamas, berkata bahawa ia berada dalam ‘fasa baharu’ konfrontasi.
Menurut kumpulan itu, ia melancarkan roket di tapak tentera Israel berhampiran Haifa dan dua pangkalan sebagai tindakan balas terhadap serangan Israel di selatan dan Bekaa. – AFP