KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan aktivis Siti Kasim dan seorang lagi individu bagi semakan kehakiman untuk mencabar keabsahan perintah larangan terhadap perhimpunan yang mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki meletak jawatan pada 2022 lalu.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh ketika menolak permohonan itu memutuskan demikian selepas mendapati perintah Mahkamah Majistret pada 20 Januari 2022 yang melarang perhimpunan ‘Tangkap Azam Baki’ itu sah di sisi undang-undang sebagai langkah pencegahan penyebaran Covid-19.
Menurut Hakim Wan Ahmad Farid, Majistret tidak bertindak secara ‘ultra vires’ atau melangkaui undang-undang ketika mengeluarkan perintah larangan bagi menghalang penularan wabak berkenaan.
“Keputusan Mahkamah Majistret sebelum ini sah, maka semakan kehakiman ini ditolak dan tiada perintah mengenai kos,” kata Hakim itu.
Pada 20 Januari 2022, Siti Kasim dan seorang lagi individu, S.Raveentheran selaku pemohon memfailkan semakan kehakiman itu bagi mencabar perintah larangan berkait perhimpunan ‘Tangkap Azam Baki’ dengan menamakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya; Timbalan KPD Dang Wangi, Deputi Superintendan Muhammad Faizal Mohd. Amir; Ketua Polis Negara; Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia selaku responden.
Semakan tersebut pada mulanya telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi di sini namun pada Mei 2023. Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Siti Kasim dan Raveentheran berhubung kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman dan kes dihantar semula ke mahkamah terdahulu untuk diputuskan.
Kedua-dua pemohon itu antara lain memohon pengisytiharan bahawa perintah larangan tersebut adalah tidak sah dan terbatal serta tindakan responden memohon perintah tersebut adalah tidak mengikut undang-undang.
Oleh itu, Siti dan Raveentharan menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan atas dakwaan pencabulan hak asasi kebebasan bergerak, bersuara dan berhimpun mereka.
Selain itu, Siti turut memohon ganti rugi atas dakwaan terpaksa menanggung malu, mengalami tekanan mental dan terpaksa menanggung kekejangan kaki yang teruk selepas terpaksa berjalan jauh daripada Lorong Medan Tuanku ke lokasi perhimpunan baharu di Bangsar selepas pihak polis melakukan sekatan di lokasi asal perhimpunan.
Pada 22 Januari 2022, perhimpunan `Tangkap Azam Baki’ diadakan bagi mendesak Azam ditahan serta-merta oleh pihak berkuasa selain mendesak proses undang-undang ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu bermula segera dan SPRM dirombak serta diletakkan di bawah Parlimen susulan dakwaan salah guna kuasa membabitkan pemilikan saham.
Terdahulu pada 5 Januari 2022, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) berpuas hati dengan penjelasan Azam berhubung dakwaan memiliki saham dengan jumlah yang melampau.
Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, hasil penjelasan dibuat, pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik Nasir Baki iaitu adik kepada Azam. – KOSMO! ONLINE