KUALA LUMPUR – Malaysia komited menjalin kerjasama dengan negara serantau bagi meningkatkan keupayaan digital untuk mencapai sasaran AS$2 trilion (RM8.35 trilion) ekonomi digital ASEAN pada 2030.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, hubungan baik dengan negara serantau penting untuk meneroka pasaran besar Asia Tenggara yang mana mempunyai lebih 70 juta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) ASEAN mensasarkan penjanaan ekonomi digital ASEAN sehingga AS$2 trilion menjelang 2030.
“Tahun hadapan Malaysia memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN, kita berharap untuk bekerjasama rapat dengan negara anggota lain bagi meningkatkan keupayaan digital dan daya tahan serantau.
“Sekali gus, meningkatkan kecekapan, memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran NextBigTech Asia 2024 di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi NextBigTech Asia, Selva Nagappan; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan dan lebih 200 peserta dari dalam luar negara.
Tambah Gobind, beliau yakin Malaysia mempunyai semua ramuan yang sesuai untuk menerajui hab digital Asia Tenggara.
“Kementerian menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) giat melaksanakan pelbagai program terutama bagi menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) celik menggunakan digital dalam perniagaan masing-masing.
“MDEC menyediakan akses bimbingan dan latihan kepada syarikat supaya mereka boleh mendapatkan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk menggunakan teknologi itu,” katanya.
Jelasnya lagi, kemunculan teknologi baharu menjadikan pasaran global lebih mudah diakses terutamanya bagi PKS kerana mereka adalah tulang belakang ekonomi negara yang melibatkan kira-kira 96.7 peratus perniagaan.
“Namun, kita sedar PKS menghadapi pelbagai cabaran dalam perjalanan digital mereka dan Kementerian Digital sentiasa bersedia membantu melalui kerjasama rapat dengan komuniti perniagaan untuk menangani isu tersebut.
“Sehubungan itu, MDEC menyediakan tiga geran utama iaitu Geran Kandungan Digital (DCG), Geran Pemangkin Digital Malaysia (MDCG) dan Geran Eksport Digital Malaysia (MDXG).
“Turut ditawarkan juga Data-Driven Playbook PKS secara percuma untuk membantu daya tahan perniagaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE