PETALING JAYA – Dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebagai satu beban serta sudah tidak sesuai dengan zaman adalah satu ‘fitnah’ yang besar.
Ini kerana kata pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Anuar Ahmad, UPSR yang mula diperkenalkan pada tahun 1988 bagi memenuhi matlamat Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang telah dimulakan pada tahun 1983.
Malah katanya, kewujudan UPSR juga telah diselarikan dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara yang dirumuskan pada tahun 1987.
“Tujuan UPSR 1988 jelas, hanya sebagai satu ujian pengesanan sahaja. Hanya pada tahun tahun kemudiannya, datang ‘penunggang penunggang’ UPSR yang mula menjadikan UPSR satu peperiksaan.
“Kuatnya mereka ‘menunggang’ UPSR sehingga sampai ke tahap mereka berjaya menjadikan begitu gahnya pengumuman keputusan UPSR sama seperti mana sewaktu mengumumkan keputusan peperiksaan SPM,”tulisnya di laman Facebook.
Justeru, Anuar berkata, beliau mahu UPSR 1988 dikembalikan dan bukan mengembalikan
UPSR yang telah dirosakkan oleh para ‘penunggang’ UPSR.
Jelasnya, UPSR 1988 boleh mengukuhkan kembali penguasaan 3M (membaca, menulis dan mengira) murid-murid di sekolah rendah.
“Ramai murid yang sedang keciciran 3M. Ramai murid yang semakin hilang minat pada Sains dan Matematik. Saya mahu kita kembalikan keseronokan belajar di sekolah rendah tanpa perlunya peperiksaan.
“Cukuplah sekadar UPSR 1988.yang bersifat ujian pengesanan. Supaya apabila murid melangkah ke tingkatan satu, mereka semua akan berada di garisan kemahiran 3M yang sama.
“Supaya semua murid berpeluang belajar dengan baik di sekolah menengah. Tidaklah ada yang ketinggalan kerana keciciran 3M. Itulah tujuan UPSR 1988,”ujarnya.
Bagaimanapun kata Anuar, ramai pihak yang menyalah anggap pendirian beliau untuk mengembalikan UPSR dan bagi mereka UPSR adalah peperiksaan besar.
“Jadi mereka tidak mahu UPSR dikembalikan. Mereka hanya nampak dan faham versi UPSR yang telah dirosakkan oleh ‘penunggang’ UPSR.
“Mereka tidak mampu melihat kemurnian UPSR versi 1988. Mereka tidak faham mengapa UPSR versi asal telah dimulakan 35 tahun lalu,”luahnya.-KOSMO! ONLINE