PERPADUAN dalam kalangan rakyat Malaysia boleh diterjemahkan dengan pelbagai kegiatan termasuk aktiviti sukaneka.
Sukaneka permainan rakyat seperti kupas buah kelapa, boling kelapa, larian kain sarung, kopak sirih dan tarik upih pinang kian dilupakan kini.
Sempena Hari Kemerdekaan diikuti sambutan Hari Malaysia baru-baru ini, lebih 200 penduduk Kampung Kubang Pak Hitam, Pasir Mas, Kelantan bersama murid sekolah, pelajar Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kota Bharu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Persatuan Komuniti Al-Husna Pasir Mas berkumpul mengadakan aktiviti tersebut di kampung itu.
Lebih menarik, program itu turut mendapat sokongan pihak keselamatan dan dirasmikan oleh Ketua Cawangan Mobile Patrol Vehicle (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pasir Mas, Asisten Superintendan Rosli Che Othman.
Menurut Pengerusi Persatuan Komuniti Al-Husna, Muhammad Nasyriq Nawawi, sukaneka rakyat diadakan bertujuan mengembalikan nostalgia penduduk kampung yang lebih senior serta mengerat silaturahim bersama-sama golongan muda.
“Para peserta terutama dalam kalangan generasi muda termasuk murid sekolah dan pelajar kolej bertuah kerana berpeluang lari seketika daripada kebiasaan dan kesibukan harian.
“Menerusi aktiviti sukaneka ini, mereka dapat merasai sendiri keseronokan berkumpul bersama rakan-rakan dan penduduk kampung,” ujarnya.
Jelasnya, sambutan sangat memuaskan dan pihaknya berpuas hati dengan ikatan silaturahim yang terjalin.
“Banyak permainan lama unik semakin dilupakan kerana golongan muda kini didedahkan dengan teknologi canggih seperti gajet.
“Penganjur sepakat memperkenalkan semula acara sukaneka yang dimulakan dengan larian rakyat pada sebelah pagi.
“Acara yang dirancang berjaya mengangkat semula permainan lama seperti tarik upih pinang, kopek kelapa, kopak sirih dan boling kelapa,” ujarnya.
Muhammad Nasyriq menambah, pada era 1990-an, sukaneka kerap diadakan bagi menarik golongan muda dan lebih berusia berkumpul dalam satu acara di padang.
Bagaimanapun katanya, peralihan masa dan kepesatan perkembangan teknologi telah sedikit demi sedikit menghakis acara tersebut.
“Kita semakin sibuk dengan urusan seharian serta sapaan dengan jiran tetangga dan orang kampung juga semakin berkurangan.
“Kemunculan gajet yang semakin canggih termasuk telefon pintar menyebabkan generasi muda lebih gemar berkurung dan terperap di rumah masing-masing.
“Hari ini, generasi muda teruja dengan aktiviti yang diadakan kerana permainan yang diperkenalkan hampir tidak pernah mereka saksikan sebelum ini.
“Penganjur menyediakan hadiah berupa pingat sebagai peniup semangat untuk pemenang tempat pertama dan kedua bagi setiap acara,” katanya yang turut mengadakan acara cabutan bertuah untuk meraikan peserta dan komuniti yang terlibat.
Sementara itu, seorang peserta Mur Dhia Raihanah Nasriq, 9, mengakui teruja dengan permainan yang disertainya.
“Saya hanya mendengar cerita mengenai sukaneka melalui nenek dan bila dapat peluang bersama-sama hari ini, ia sungguh menyeronokkan.
“Kenangan ini sangat berharga dan kawan-kawan sebaya juga mahu acara begini diteruskan pada masa akan datang kerana kami berpeluang berkumpul bersama-sama keluarga, saudara-mara dan penduduk kampung,” katanya.
Bagi Nik Zamri Mohd. Nor, 47 dari Kampung Kubang Pak Hitam, dia sangat berterima kasih kepada penganjur yang berjaya mengembalikan semangat perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.
“Sukan rakyat semakin dilupakan kerana generasi muda kian terdedah dengan kehidupan moden dan peranti-peranti yang kadang mengasyikkan.
“Bagaimanapun, pada program ini, kita berjaya menarik minat pelbagai lapisan usia dalam satu gelanggang yang sama. Saya percaya aktiviti begini akan mengukuhkan lagi ikatan komuniti di sini,” ujarnya.