fbpx

‘Hidayah milik Allah, saya pelik Keith Foo dengar khutbah hari-hari’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Riena Diana berkata, Keith memang sudah terbiasa dengan budaya Melayu sedari kecil dan 'dekat' dengan agama Islam.

KUALA LUMPUR – Pelakon Riena Diana enggan terlalu mendesak dan memberi tekanan kepada teman lelakinya yang juga pelakon, Keith Foo untuk mendalami tentang agama Islam.

Menurut Riena atau nama penuhnya Nur Qamarina Diana Zulreal, 28, Keith sebenarnya sudah terdedah dengan ajaran Islam sejak kecil ditambah pula ada beberapa ahli keluarganya sudah memeluk Islam.

“Jarang bercakap tentang hal ini. Namun, kami berdua sedar tentang hubungan yang berbeza agama. Sebelum hubungan menjadi lebih serius, itu yang kami pernah bincangkan dahulu.

“Sepanjang tempoh perkenalan, saya melihat Keith sudah biasa berkawan dengan orang Melayu. Jadi, setakat perkara-perkara asas, dia memang sudah tahu dan tiada masalah sangat.

“Dia mempunyai keinginan untuk belajar sendiri dan sebab itu saya tidak terlalu mendesak. Kakak dan abangnya juga adalah mualaf. Jadi, bukan sesuatu yang asing pun,” katanya kepada Kosmo! Online selepas sidang akhbar pra kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) di sini, baru-baru ini.

Selain enggan memaksa, dia juga yakin hidayah dan petunjuk daripada Tuhan akan hadir bila-bila masa dengan cara tersendiri.

“Perkara seperti ini tidak boleh dibuat-buat, sebab akan datang sendiri.

“Hidayah itu datang daripada Allah. Saya sentiasa mendoakan yang terbaik buat Keith,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Riena mengakui teruja melihat kesungguhan Keith untuk mendalami ilmu agama dengan usahanya sendiri.

“Kadang-kadang dia beritahu ada mendengar khutbah dan akan kongsikan isi ceritanya. Pada mulanya saya pelik, kenapa dengar khutbah hari-hari? Khutbah selalunya pada hari Jumaat.

“Rupa-rupanya, pada dia, setiap ceramah itu adalah khutbah. Saya melihat situasi itu sangat comel. Dia ada inisiatif untuk mendalami agama.

“Baru-baru ini, pada hari Maulidur Rasul, dia bertanya, kebiasaan orang Islam buat apa? Kemudian dia sendiri yang memutuskan untuk bersedekah di masjid,” ujarnya.

Ditanya mengenai perancangan berumah tangga, dia dan Keith kini masih mahu memberikan fokus terhadap kerjaya seni masing-masing.

“Setiap orang pasti nak berumah tangga. Bukan saya tidak merancang tapi hubungan kami masih baharu.

“Kami mahu fokus kerjaya dahulu. Seperti sekarang, saya diberi peluang untuk mengacarakan ABP36.

“Keith nak saya terbang tinggi. Ada banyak lagi perkara baharu yang kami ingin ceburi,” tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Riena bakal menggalas tanggungjawab untuk mengemudi rancangan ABP36 bersama dua orang lagi rakan pengacara iaitu Didie Alias dan Hanif Hamzah.

Pada Jun lalu, Riena mendedahkan hubungan cinta mereka terjalin sejak sama-sama menjayakan penggambaran drama bersiri Salju Rindu untuk siaran TV3.

Mengakui mempunyai banyak persamaan, status duda anak satu juga bukan penghalang kerana baginya paling penting Keith bukan suami orang.

Keith pula pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Kim Raymond pada November 2015 namun bercerai empat tahun kemudian.

Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Skylar yang kini berusia tujuh tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI