PETALING JAYA – Sama ada cerai atau sebaliknya. Itu yang dijangka berlaku di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor, berhubung krisis rumah tangga pasangan selebriti, Nur Fazura dan Fattah Amin esok.
Selepas tujuh tahun menyimpul bahagia atas nama perkahwinan sehingga dikurniakan seorang cahaya mata bernama Nur Fatima Aisya, nasib rumah tangga Fazura dan Fattah akan ditentukan kurang 24 jam dari sekarang.
Segala persoalan yang bermain di fikiran peminat tentang status dan permasalahan rumah tangga pasangan yang menjadi pujaan ramai itu dijangka termeterai esok hari.
Semestinya, keputusan untuk membawa haluan masing-masing bukan satu jalan mudah terutama dengan Fatima, 3, yang kini semakin membesar.
Sebelum ini, Fattah berkata, dia masih menyayangi Fazura dan menegaskan tiada wanita lain yang menjadi punca keretakan rumah tangga mereka.
Sementara itu, Fazura pula memilih pendekatan mengunci mulut mengenai perceraian yang difailkannnya itu.
Fazura, 41, memfailkan perceraian terhadap Fattah, 34, di Mahkamah Syariah Petaling 13 September lalu.
Perkara itu disahkan sendiri oleh pengurus Fazura iaitu Iman Tang.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Nur Fatima Aisya. – KOSMO! ONLINE