fbpx

EPL: Pengadil, kad merah ‘bunuh’ Arsenal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain Arsenal terpaksa akur hanya membawa pulang satu mata selepas bolos gol kedua enam saat sebelum tamat. - PREMIER LEAGUE

MANCHESTER – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta ‘berputih mata’ apabila dipisahkan enam saat sahaja untuk mereka memadam rekod buruk dengan menewaskan Manchester City di Stadium Etihad buat kali pertama dalam tempoh sembilan tahun sejak Januari 2015.

Begitupun, Arteta, 42, mendakwa kegagalan itu disebabkan keputusan tidak konsisten pengadil perlawanan, Michael Oliver yang melayangkan kad merah kepada pemainnya, Leandro Trossard di penghujung separuh masa pertama pada minit ke-45+8.

Ia menyebabkan The Gunners yang ketika itu sedang mendahului 2-1, tiada pilihan selain bermain ‘parkir bas’ sepanjang 45 minit sebelum bolos juga gol kedua kepada City menerusi John Stones ketika aksi berbaki enam saat untuk tamat.

“Ada dua insiden yang sama, cuma bezanya keputusan berbeza diberikan. Disebabkan itu, anda terpaksa melihat satu perlawanan yang tiada sesiapa mahukan (Arsenal bermain bertahan),” kata Arteta.

Arteta berang kerana pemain sayap City, Jeremy Doku tidak diberikan kad kuning biarpun menyepak bola jauh untuk melambatkan Arsenal mengambil sepakan percuma berbanding Trossard yang dilayangkan kad kuning kedua kerana insiden hampir sama.

“Saya tidak mahu membincangkan perkara ini tetapi ia sangat jelas. Ia bukan tugas saya untuk menilai prestasi pengadil tetapi ini sudah kali kedua ia berlaku kepada kami dalam tempoh lima perlawanan musim ini.

“Bukan mudah bermain 10 orang menentang City selama 55 minit. Anda mahu melihat yang terbaik di Liga Perdana Inggeris tetapi saya juga perlu pastikan pasukan saya ‘hidup’,” jelas Arteta.

Bagaimanapun, Arteta tetap berbangga dengan semangat juang dan disiplin tinggi anak-anak buahnya mengekang serangan bertali arus City sepanjang perlawanan itu.

“Kad merah menjadikan segala-galanya mustahil. Bermain 11 orang pun sukar, apatah lagi dengan 10 pemain. Namun, saya bangga pemain tidak pernah menyerah kalah dan kami bolos di penghujung perlawanan,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI