MANCHESTER – Arsenal dilabelkan sebagai pasukan yang mengamalkan pendekatan anti bola sepak ketika mencatat keputusan seri 2-2 menentang Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad malam kelmarin.
Pada perlawanan itu, The Gunners dilihat lebih banyak menghabiskan masa dengan ‘berkampung’ dalam kawasan sendiri, terutamanya selepas pemain sayap, Leandro Trossard dilayangkan kad merah di penghujung separuh masa pertama.
Pemain tengah City, Bernardo Silva nyata menyampah dengan taktik diterapkan pencabar takhta Liga Perdana itu kerana menganggap ianya mencemarkan imej bola sepak yang digambarkan sebagai sukan menghiburkan.
“Hanya ada satu pasukan (City) sahaja yang datang untuk bermain bola sepak pada hari ini (kelmarin), manakala satu pasukan lagi seolah-olah melengkapkan syarat sahaja. Ia tidak sepatutnya berlaku.
“Bagaimanapun, kami masih berjaya mencatat keputusan seri. Bagi saya, ia satu keputusan yang baik mengambil kira situasi yang perlu kami hadapi sepanjang perlawanan berlangsung,” katanya.
Pada masa sama, dia juga mendakwa pengadil perlawanan, Michael Oliver terlalu ‘memberi muka’ kepada skuad kendalian Mikel Arteta itu apabila membenarkan tindakan-tindakan yang tidak sepatutnya berlaku.
“Sebaik sahaja sepak mula, saya sudah dapat rasakan sesuatu apabila pemain kami (Rodri) mengalami kecederaan hanya dalam tempoh 10 minit selepas dua kali diasak pemain-pemain Arsenal.
“Kemudian gol pertama mereka berlaku ketika kapten (Kyle Walker) berada di luar posisi dan belum bersedia. Sementara itu, gol kedua adalah hasil daripada halangan yang dilakukan terhadap penjaga gol kami,” ujar Silva.
Pemain antarabangsa Portugal itu turut membidas Persatuan Bola Sepak (FA) England yang tidak tegas dengan tindakan sedemikian biarpun sudah berulang kali mengadakan perbincangan berhubung perkara berkenaan. – AGENSI