PETALING JAYA – CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) memperkukuh sokongan terhadap asnaf melalui sumbangan mesin jentera penuai padi bernilai RM298,000 kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di bawah program Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (SBBA).
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd. Shariff berkata, sumbangan itu adalah bagi meningkatkan kemahiran petani asnaf tempatan sekaligus mengurangkan kos pengeluaran dan penyumberan luar padi secara keseluruhan.
Menurutnya, peruntukan mesin jentera ini dijangka menyediakan penjimatan yang ketara sehingga RM5,600 setahun untuk setiap petani bagi setiap hektar.
“Para petani asnaf kini dapat menggunakan mesin jentera penuai padi dengan hanya RM40 serelong, berbanding dengan penyewaan jentera tempatan yang biasanya mempunyai kos sebanyak RM120 serelong.
“Selain itu, para petani asnaf yang mengambil bahagian juga memperoleh jimatan sehingga RM24 untuk mengangkut satu tan hasil padi serta sehingga RM10 bagi penggunaan dron pertanian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sumbangan itu diserahkan oleh Ahmad Shahriman kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman dalam satu majlis baru-baru ini.
Ahmad Shahriman berkata, pihaknya berbesar hati dapat membantu petani asnaf di negeri Kedah melalui kerjasama dengan LZNK.
“Kami berharap sumbangan ini akan meningkatkan kecekapan pengeluaran padi serta memberi penjimatan kos yang ketara dan menyediakan sumber pendapatan yang mampan untuk mereka.
“CIMB Islamic kekal komited dalam usaha untuk mempelopori mekanisma inovatif dalam pembahagian zakat demi menangani cabaran global khususnya keselamatan makanan,” jelasnya.
Tambah Ahmad Shahriman, beliau yakin penggunaan instrumen kewangan sosial Islam seperti zakat dengan penggunaan teknologi dapat meningkatkan taraf hidup golongan rentan serta mengurangkan jurang sosial dan ekonomi. – KOSMO! ONLINE