KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan pelaburan memperdaya mangsa dengan menggunakan nama syarikat pelaburan terkenal iaitu Pantheon Ventures, sehingga mengakibatkan kerugian lebih RM32 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, melalui beberapa serbuan yang telah dijalankan di seluruh Malaysia, seramai 17 individu termasuk seorang wanita tempatan berusia 23 hingga 52 tahun berjaya diberkas.
Sementara itu, pihaknya sedang giat mengesan tujuh lagi individu bagi membantu siasatan berkenaan.
Katanya, sejak Januari tahun ini, JSJK telah membuka 66 kertas siasatan berkaitan skim pelaburan palsu yang dikenali sebagai Pantheon Ventures.
“Jumlah kerugian yang telah dicatatkan setakat ini mencecah RM32,972,448.15 manakala sejumlah 20 akaun bank melibatkan tujuh buah syarikat, 12 perniagaan dan satu akaun persendirian dikesan telah digunakan oleh sindiket penipuan ini.
“Berdasarkan siasatan, sindiket ini beroperasi sepenuhnya secara dalam talian dan menggunakan nama syarikat pelaburan terkemuka dunia iaitu ‘Pantheon Ventures’ untuk mengelirukan mangsa,” katanya ketika sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.
Menurut beliau, ‘Pantheon Ventures’ adalah sebuah syarikat pelaburan yang sah
berpangkalan di United Kingdom dan telah ditubuhkan sejak tahun 1982 dan syarikat ini tidak mempunyai kaitan dengan skim pelaburan ‘Pantheon Ventures’ yang ditawarkan sindiket penipuan berkenaan.
Modus operandi sindiket penipuan ini adalah menggunakan laman Facebook dan WhatsApp sebagai medium pengiklanan dan komunikasi dengan mangsa.
“Iklan promosi pelaburan dibuat melalui Facebook dengan mengaplikasikan sistem algoritma Facebook bagi mencapai hasil yang optimum. Tawaran keuntungan yang ditawarkan adalah sekitar 6 hingga 400 peratus sehari bergantung kepada pakej yang ditawarkan.
“Selain itu, mangsa turut diyakinkan bahawa pelaburan mereka adalah terjamin dengan adanya bimbingan daripada ‘cikgu trader’ yang merupakan pakar dalam analisis pasaran modal.
“Bagi tujuan pelaburan, mangsa diarahkan untuk mendepositkan wang ke akaun tertentu (atas nama syarikat, perniagaan atau individu) dan memuat turun aplikasi APEX dan NEEQ melalui App Store dan Google Store,” ujarnya.Ramli berkata, mereka yang ditahan berperanan sebagai pengarah syarikat, setiausaha syarikat dan agen pencari akaun keldai bagi sindiket ini.
“Kita merampas sebanyak 13 telefon bimbit pelbagai jenama, satu komputer riba, kad ATM (6), dokumen pendaftaran syarikat (2 set), satu cop syarikat dan satu set penyata akaun bank.
“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pasukan penyiasat juga dalam usaha mengesan tujuh lagi individu bagi membantu siasatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.