PETALING JAYA – Dihujani ucapan tahniah bakal menyambut kelahiran cahaya mata pertama, pelakon Datin Atikah Suhaime sebenarnya merancang untuk mengumumkan kehamilan secara rasmi pada bulan depan.
Kata Atikah atau nama lengkapnya Nur Atikah Mohd. Suhaime, 33, dia memilih untuk menyembunyikan tentang berita kehamilannya yang kini sudah mencecah empat bulan kerana bimbang akan mendapat kecaman.
“Pada saya waktu itu terlalu awal untuk membuat pendedahan dan pelbagai perkara boleh berlaku. Saya juga bimbang jika kongsikan berita terlalu awal, nanti netizen akan mengecam atau mendoakan yang tidak baik.
“Sejujurnya saya agak trauma apabila ada yang mendoakan tidak baik kepada ketika melangsungkan perkahwinan dahulu dengan mengatakan perkahwinan kami tidak bertahan lama.
“Tetapi saya sangat berterima kasih dan bersyukur kerana pengikut di media sosial semuanya mendoakan yang baik-baik buat saya dan tiada komen benci saya terima,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.
Dalam pada itu, disebabkan berat badannya naik mendadak selepas hamil, Atikah akhirnya memilih untuk kongsikan berita gembira itu dalam media sosial.
“Kalau tidak kongsikan gambar, nanti media sosial saya akan kosong. Jadi saya fikir kongsikan saja foto terbaharu yang kini sedang hamil dan berat badan juga naik.
“Bentuk badan masih kecil, tetapi bahagian perut makin membesar dan begitu juga pada bahagian wajah. Sejak hamil ada banyak baju yang tidak muat dan saya perlu pergi ke kedai untuk membelinya.
“Jadi alang-alang begitu, saya kongsikan saja gambar semasa yang kini sedang hamil,” katanya.
Ditanya tentang persiapan bayi, pelakon filem My Stupid Boss itu memberitahu, dia tidak merancang untuk membeli barangan di luar negara atau berhabis puluhan ribu semata-mata untuk menyambut kelahiran anak pertamanya.
Bagi Atikah, dia lebih fokus kepada keperluan asas bayi termasuk dirinya selepas melahirkan anak nanti.
“Buat masa ini saya dan suami belum membuat sebarang persiapan bayi. Saya juga mengharapkan agar khalayak boleh kongsikan tip tentang penjagaan bayi dan keperluan bayi termasuk ibu nanti selepas bersalin kerana saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
“Bagi saya, tidak perlu untuk berbelanja besar atau beli terlalu banyak barang untuk bayi kerana bayi ini cepat membesar. Tetapi, saya yakin suami saya mungkin akan mewahkan anak, tetapi bagi saya persiapan itu tidak perlu terlalu berlebihan.
“Paling penting ialah keperluan asas bayi dan saya nanti untuk menjaganya. Untuk saya, mendapatkan pengasuh yang boleh membantu saya menjaga bayi nanti lebih penting kerana saya tidak mahu membebankan kedua orang tua dan keluarga mentua,” katanya.
Dalam pada itu, Atikah turut meluahkan rasa syukur apabila alahan yang dialaminya sebelum ini sudah berkurangan.
“Sebelum ini saya mengalami alahan yang teruk seperti muntah-muntah dan sakit kepala. Saya rasa cepat penat dan nafas tercungap-cungap.
“Kini alhamdulillah semua itu sudah semakin berkurangan, cuma saya masih tidak tahan dengan bau bawang,” katanya.
Sebelum ini, pelakon asal Singapura itu mengakui tidak boleh menjamah makanan yang mengandungi bawang kerana boleh mengakibatkan rasa mual.
Dia juga hanya boleh makan hidangan Itali yang diberi nama ortabello mushroom focaccia sandwic.
Atikah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Lokman Teh pada 21 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE