KUALA TERENGGANU – Seorang wanita warga emas dari Perancis tidak dapat melupakan detik-detik menyelamatkan anak perempuan dan cucu-cucunya daripada pengaruh Al-Arqam pada tahun 1980-an.
Christine Rohani Longuet, 81, yang kini menetap di Pulau Duyong berkata, dia menyaksikan sendiri trauma yang ditempuh anak serta cucu-cucunya disebabkan ketidakadilan dalam gerakan tersebut.
“Saya berusaha keras menyelamatkan anak dan cucu-cucu yang ketika itu berada di perkampungan Al-Arqam di Sungai Penchala, Selangor selepas melihat ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem kekeluargaan yang diamalkan Al-Arqam.
“Tidak tahan melihat anak dan cucu-cucu saya diabaikan kebajikan sehingga menyebabkan mereka trauma. Alhamdulillah mereka dapat keluar daripada perangkap Al-Arqam dengan bantuan kerajaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pulau Duyong semalam.
Terdahulu, cucu sulungnya yang dikenali sebagai Sabrina Bolivar tular selepas membuat pendedahan pengalaman hidup dalam gerakan Al-Arqam di media sosial baru-baru ini.
Sabrina yang kini menetap di Paris mendedahkan ibunya, Maryam yang ketika itu merupakan pelajar cemerlang dipengaruhi untuk menyertai gerakan Al-Arqam sehingga sanggup meninggalkan pengajian dalam bidang perubatan di sebuah universiti tempatan.
Maryam kemudian dikahwinkan dengan dua lelaki yang juga anggota gerakan termasuk bapanya yang sudah memiliki tiga isteri termasuk anak perempuan pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad.
Rohani yang menetap di Pulau Duyong sejak tahun 1971 memberitahu, anak perempuannya tersebut mengalami kemurungan serius sehingga hari ini akibat pengabaian sewaktu berada di dalam gerakan Al-Arqam. – KOSMO! ONLINE