KETIKA perkahwinan dengan Abhishek Bachchan didakwa retak menanti belah, pelakon Aishwarya Rai dilihat tidak kisah mengimbas kisah cinta lampaunya.
Kali ini, ibu kepada seorang anak perempuan itu mengulas spekulasi hubungan dengan bekas kekasihnya ketika lewat 1990-an iaitu Salman Khan.
Menurut Aishwarya, keserasian dalam filem Hum Dil De Chuke Sanam disusuli Hum Tumhare Hain Sanam mendekatkan hubungan mereka tetapi akhirnya kecundang di tengah jalan.
Namun selepas itu, timbul desas-desus menyatakan dia dan Salman sudah berbaik semula sebelum berkahwin secara rahsia.
Bahkan spekulasi terus bertebaran dengan ada pihak mendakwa pasangan tersebut sudah terbang ke New York, Amerika Syarikat untuk berbulan madu.
Kini, ratu cantik yang berusia 50 tahun itu menjelaskan semua khabar tersebut palsu dan hanya tokok tambah industri Bollywood.