GUA MUSANG – Seorang wanita Orang Asli suku kaum Temiar yang menghidap penyakit sawan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Bring Lama, Pos Pasik di sini sejak empat hari lalu.
Zuzina Abine, 33, dipercayai hilang kira-kira pukul 7 pagi pada Jumaat lalu dan masih belum dijumpai sehingga hari ini.
Kakak mangsa, Timah Ason, 37, berkata, adiknya kali terakhir dilihat memakai baju berwarna hitam dan berkain sarung pada malam sebelum kehilangannya.
Katanya, dia menyedari adiknya sudah tiada selepas bangun tidur kira-kira pukul 7 pagi dan melihat pintu dapur rumah terbuka.
“Saya mencari adik di rumah jiran, namun tidak menjumpainya. Saya terus berjumpa penghulu kerana risau dengan keselamatan adik lebih-lebih lagi dia kerap diserang sawan.
“Kebiasaannya, dia akan diserang sawan tiga kali sehari. Saya juga bimbang dia jatuh ke dalam sungai atau diserang haiwan liar ketika berjalan seorang diri,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Timah memberitahu, adiknya merupakan seorang yang pendiam dan kurang bergaul dengan orang ramai.
Katanya, Zuzina yang masih bujang sebelum ini hidup dengan mendiang ibu di Kampung Gawin, Pos Gob di sini sebelum tinggal bersamanya di Kampung Bring Lama sejak setahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Pasik, Jimi Arifin pula berkata, seramai 30 orang kampung digerakkan untuk mencari Zuzina sejak pukul 10 pagi pada Jumaat lalu.
Katanya, operasi pencarian dilakukan di sekitar kawasan kampung dengan jarak kira-kira 10 kilometer dari kawasan rumahnya.
“Wanita itu masih gagal dijumpai selepas dua hari gerakan mencari dijalankan. Penduduk juga tidak menjumpai sebarang kesan yang boleh dikaitkan dengan kehilangan mangsa.
“Operasi mencari yang dijalankan penduduk dihentikan ketika ini kakak mangsa telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Bertam semalam,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kes tersebut. – KOSMO! ONLINE