fbpx

[VIDEO] Alif Teega, Aisyah Hijanah didakwa salah guna wang infak lebih RM1.52 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alif dan Aisyah ketika hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. -Foto oleh SADDAM YUSOF/KOSMO!

SHAH ALAM – Pempengaruh terkenal, Alif Teega dan isterinya, Aisyah Hijanah Azhari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan menyalahgunakan wang infak lebih RM1.52 juta tiga tahun lalu.

Alif Teega atau nama sebenarnya, Mohd. Hazalif Mohd. Hazani, 30, dan Aisyah Hijanah, 26, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

“Faham pertuduhan, mohon dibicarakan,” kata mereka ketika diminta membuat pengakuan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-10, pasangan tersebut didakwa mencapai niat bersama secara tidak jujur menyalahgunakan wang berjumlah RM1,526,372.16 juta.

Jumlah paling besar adalah RM425,890.64, manakala jumlah terkecil RM438.38.

Wang tunai itu antaranya bagi tujuan infak Projek Kurma, al-Quran di Masjidil Haram dan Nabawi, pek makanan bagi fakir miskin di Mekah dan Madinah, bantuan banjir di Kelantan dan Terengganu (Set pakaian muslimah), set pakaian pakaian raya anak yatim serta sedekah pek makan dan sedekah qurban.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di bank CIMB dan Maybank di Seksyen 8 dan 9, Bandar Baru Bangi pada 11 Mei 2021 hingga 2 Julai 2024 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Mahkamah membenarkan pasangan itu diikat jamin RM50,000 berserta syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu pertama setiap bulan.

“Kedua-dua tertuduh juga tidak boleh berhubung dengan mana-mana saksi,” kata hakim itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd. Shahrullah Khan. Sebutan semula kes pada 27 November ini.

Pada Julai lalu, Alif dan Aisyah ditahan reman selama empat hari di Mahkamah Majistret Putrajaya untuk siasatan kerana salah guna kuasa.

Pasangan itu kemudian membuat permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar penahan reman yang dibuat mengikut Seksyen 23 SPRM.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan semakan pasangan itu apabila mendapati Mahkamah Majistret Putrajaya mematuhi peruntukan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Sebelum ini pempengaruh terbabit menerusi peguamnya menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah membabitkan dirinya seperti yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

Pasangan suami isteri itu turut menegaskan mereka tidak pernah menggunakan wang tersebut untuk tujuan peribadi. – KOSMO! ONLINE

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Utusan Malaysia (@utusanonline)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI