fbpx

UTM hasilkan lebih 500 buku braille bantu perluas ilmu kepada OKU penglihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD SALAHUDDIN (kanan) menyampaikan senaskah Buku Braille bertajuk ‘Kolam Teduh Biru’ kepada Sae'dah Yasinan @ Jasman pada Majlis Perlancaran Laman Baca Celik Hati Projek Buku Braille di UTM, Johor Bahru hari ini. - Foto oleh BAZLAN IBRAHIM

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menghasilkan lebih 500 naskhah buku Braille bagi memperluas penguasaan ilmu kepada orang kelainan upaya (OKU) penglihatan sejak 1998.

Ketua Pustakawan Perpustakaan UTM, Nor Asikin Mohamad berkata, buku-buku Braille yang dihasilkan pihaknya telah diedarkan ke sekolah-sekolah di Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

“Projek transliterasi buku Braille ini adalah salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UTM kepada masyarakat. Buat waktu ini kita telah hasilkan lebih 500 buku Braille melibatkan pelbagai topik ilmiah.

“Kebelakangan ini, kita mendapat permintaan untuk menghasilkan buku Braille melibatkan pendidikan agama Islam dan buku jawi bagi darjah 4, 5 dan 6,” katanya dalam sidang akhbar sempena program Pentas Budaya Sasterawan Negara: Datuk Dr. Siti Zainon Ismail – Keindahan Adab Sopan dan Gelora Teluk Belanga dan Pelancaran Buku Braille Beraudio di UTM, di sini hari ini.

Tambah Nor Asikin, pihaknya berhasrat untuk menghasilkan lebih banyak buku Braille melibatkan pelbagai bidang ilmu bagi manfaat komuniti OKU penglihatan di negara ini.

“Proses ini bukan sahaja memakan kos tetapi juga masa untuk dihasilkan. Tempoh waktu mengikut buku tersebut, ada yang boleh disiapkan dalam tempoh sehari namun ada yang memakan masa beberapa bulan.

“Selain menghasilkan buku Braille, kita juga sedang giat menghasilkan ‘audio book’, jadi bagi golongan OKU penglihatan ini, mereka boleh juga pelajari ilmu dengan kaedah mendengar,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI