BEREGU campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai terpaksa menerima hakikat apabila gagal mencipta sejarah baharu buat arena badminton tanah air pada Kejohanan Badminton Terbuka China.
Kekalahan Soon Huat-Shevon di pentas final kepada Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping semalam menyebabkan Malaysia perlu menanti lagi untuk meleburkan penantian 38 tahun melihat wakil negara menjuarai kategori berkenaan sejak Terbuka China mula dipertandingkan pada 1986.
Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada pasangan suami isteri yang menghuni ranking ke-12 dunia itu kerana bersaing sengit selama tiga set dalam pertarungan penuh mendebarkan di Gimnasium Xincheng, Changzhou sebelum tewas dengan keputusan 21-16, 14-21, 17-21.
“Perasaan saya bercampur-baur ketika ini tetapi sangat berpuas hati dengan aksi keseluruhan walaupun kalah. Kami sudah berikan yang terbaik sepanjang perlawanan dengan Soon Huat berlari hampir seluruh gelanggang.
“Kami menang set pertama yang memberi keyakinan tetap pasukan lawan berjaya mengubah permainan di set kedua. Apa yang penting hari ini (semalam) adalah kami tidak mudah mengalah dan sentiasa membantu satu sama lain,” kata Shevon kepada BWF.
Sekurang-kurangnya Soon Huat-Shevon berjaya mengulangi pencapaian pernah dilakukan wakil terakhir beregu campuran negara yang beraksi di final Terbuka China iaitu Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pada edisi 2012 dan membawa pulang trofi beserta hadiah wang tunai bernilai AS$70,000 (RM294,350).
Sebagai rekod, kali terakhir pemain Malaysia memenangi gelaran Terbuka China adalah menerusi legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei yang melakukannya pada edisi 2015.
Sejak dianjurkan buat kali pertama pada 1986, hanya empat wakil negara pernah merangkul kejuaraan Terbuka China iaitu Chong Wei dan Wong Choong Hann dalam perseorangan lelaki, Wong Mew Choo (perseorangan wanita) serta Jalani Sidek-Razif Sidek (beregu lelaki).