fbpx

‘Semua yang saya buat, ada kaitan dengan arwah Johan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nora mengakui banyak berhutang budi dengan suaminya, Allahyarham Johan Nawawi meskipun kini sudah meneruskan kehidupan sebagai isteri orang lain.

MENGADAKAN sebuah konsert solo pastinya menjadi impian setiap individu bergelar penyanyi namun untuk menjadikannya realiti, bukan satu hal mudah.

Banyak rintangan dan kegagalan perlu ditempuh yang adakalanya boleh meruntuhkan semangat dalam diri.

Perkara itu diakui dan dilalui Datuk Nora Ariffin bagi merealisasikan impian yang sudah disimpannya sejak tiga dekad lalu.

Kini, impian tersebut menjadi kenyataan selepas mengumumkan akan muncul dengan Konsert Hanya Satu: Datuk Nora Ariffin (30 Years Journey) yang bakal berlangsung pada 18 Disember depan di Stage 1 Theatre, PJ PAC, One Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Pemilik nama lengkap Wan Norafizah Wan Ariffin, 51, itu bersyukur kerana akhirnya segala penat lelah yang ditabur terbayar apabila ada pihak yang sudi menaja konsert solonya itu.

SELAIN untuk dirinya, konsert sulung Nora (kanan) adalah hadiah istimewa buat arwah suaminya yang sebelum ini banyak berjuang untuk merealisasikan impian itu. – SADDAM YUSOF

Malah, dia melihat penganjuran konsert tersebut sebagai ‘hadiah’ buat para peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seninya sejak 30 tahun lalu.

“Konsert ini adalah momen penting dalam perjalanan kerjaya muzik saya. Jadi, saya memang akan berusaha memberi yang terbaik.

“Saya nak juga konsert ini menjadi realiti, sekurang-kurangnya sekali dalam karier sebagai penyanyi,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Satu perjalanan yang sukar, penyanyi itu memberitahu bukan mudah untuk menambat hati pihak tertentu bagi menaja konsert sulungnya.

Dapatkan penaja

Sebagai manusia biasa, dia turut tidak terlepas daripada berasa putus asa kerana proposal atau kertas kerja konsertnya sering ditolak.

“Sangat sukar, walaupun sudah lama berada dalam industri, tidak mudah untuk saya mendapatkan penaja. 

“Pernah satu tahap, memang nak putus asa sebab idea dan kertas kerja sering kena ‘reject’ sehingga membuatkan saya tertanya-tanya adakah tidak lagi relevan sebagai penyanyi atau kurang popular.

“Namun, alhamdulillah dengan sokongan pasukan, keluarga dan peminat dan berkat doa tanpa henti, saya nekad teruskan perancangan yang sudah memakan masa hampir dua tahun itu,” tuturnya.

Kata pelantun lagu Di Persimpangan Dilema itu, selain dirinya, konsert ini juga merupakan idea asal suaminya, Allahyarham Johan Nawawi.

Kongsinya, isu masalah penaja bukan perkara baharu tetapi sudah dilalui berpuluh tahun sebelum ini.

Setiap kegagalan yang dilalui turut membuatnya terfikir mengapa penyanyi lain dari luar negara khususnya mendapat laluan mudah untuk mengadakan konsert.

Mengakui adakalanya terkilan melihat penyanyi lain mudah untuk mengadakan sebuah konsert sedangkan dia perlu menempuh fasa kertas kerja ditolak berkali-kali untuk mendapatkan penaja.

“Sejak zaman arwah Johan masih ada, masalah utama yang sering saya hadapi adalah mendapatkan penaja. 

“Saya rasa terkilan dan sedih melihat penyanyi lain mudah sahaja mengadakan konsert. Namun, saya fikir mungkin bukan rezeki saya ketika itu. 

“Sampai satu tahap memang rasa malas hendak bercakap tentang konsert lagi serta mahu mematikan sahaja impian tersebut itu,” katanya lagi.

Tuturnya, rasa berharap dalam dirinya kembali berbunga selepas pihak kerajaan membuka peluang dengan memberi geran kepada penganjur tempatan untuk penganjuran konsert.

“Selepas kerajaan membuka peluang dengan menawarkan geran, saya tidak melepaskan peluang untuk memohon. 

“Walaupun tidak dibiayai sepenuhnya dan masih perlu menampung kos tambahan, saya tidak kisah asalkan impian untuk mengadakan konsert solo ini menjadi realiti,” kongsinya.

Sebak

Dalam pada itu, ketiadaan arwah suami membuatkan Nora berasa seperti ada sesuatu yang kurang lengkap untuk mengadakan konsert solo. 

Rasa rindu tidak akan pernah luput, dia mengakui berasa sebak setiap kali membuat latihan untuk konsert dengan menyanyikan lagu-lagu ciptaan arwah.

“Saya tahu kalau dia masih ada mesti gembira kerana akhirnya saya dapat merealisasikan impiannya mempunyai konsert solo sendiri.

“Bila saya berlatih menyanyi lagu-lagu untuk konsert ini, memang sangat beremosi sebab setiap lagu itu semuanya ada kaitan dengannya.

“Sebelum ini, semuanya diuruskan oleh arwah termasuklah penghasilan lirik lagu dan hal berkaitan produksi. Saya berharap kalau abang (panggilan arwah) ada pasti lebih seronok, cuma itulah, Tuhan lebih menyayanginya,” kongsinya.

Bercerita lanjut tentang Johan, Nora berkata, kerjaya nyanyiannya banyak dibantu oleh Johan sehingga dia berjaya meletakkan dirinya di kedudukan sekarang ini.

Bagi menzahirkan penghargaan tersebut, dia akan mengadakan satu segmen tribute untuk Johan bagi menghargai karya yang pernah dihasilkan.

“Demi dia yang banyak berusaha untuk realisasikan cita-cita ini, saya akan mengadakan satu segmen tribute istimewa untuk arwah bagi setiap menghargai jasa-jasanya.

“Memang saya tahu, kalau orang sebut pasal lagu-lagu saya, muzik Nora tak akan wujud tanpa figura bernama Johan. 

NORA tidak menolak untuk menambah hari bagi konsert tersebut sekiranya tiket ‘sold out’ dan mendapat permintaan ramai.

“Walaupun dia tiada, kawan-kawannya masih ada dan anak-anaknya setia berada di sisi saya. Jika satu hari nanti saya pun tiada juga, biarlah saya meninggalkan satu momen indah kepada semua,” ujarnya lagi.

Pada konsert tersebut, Nora akan menyampaikan 17 lagu popular dan malar segar daripada 18 albumnya.

Antara lagu popular yang akan didendangkan ialah Di Persimpangan Dilema, Naluri (Hadirlah Kekasih), Sandiwara, Menyemai Cinta Bersamamu, Renungan Terakhir dan Jentayu. 

 Konsert turut mendapat sentuhan individu berpengalaman iaitu Jennifer Thompson yang akan bertindak sebagai Pengarah Persembahan dan Aubrey Suwito sebagai Pengarah Muzik.

Tiket Konsert Hanya Satu: Datuk Nora Ariffin (30 Years Journey) kini boleh dibeli menerusi www.onetix.com.my bermula dari harga RM108 (interlude), RM158 (Sandiwara), RM218 (Debaran), RM288 (Naluri), RM318 (Samudera), RM418 (Jentayu), RM518 (Kirana) untuk VIP dan sesi Meet & Greet.

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI