fbpx

Ramli pandu Mercedes dicari bantu kehilangan Sabari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar kenangan Sabari (tengah) bersama anak dan menantunya.

BALING – Tiga beradik sedang berusaha mengesan seorang lelaki bernama Ramli dan memandu kenderaan jenama Mercedes bagi mendapatkan maklumat tentang bapa mereka, Sabari Baharom, 62, yang hilang sejak 4 September lalu.

Menurut Muhammad Amir Hakimi, 25, dia dan dua kakaknya menemui semua rakan dan kenalan bapa untuk mendapatkan maklumat berkaitan.

“Semua kenalan ayah telah kami temui termasuk nama-nama kenalan ayah yang disebut oleh mereka, cuma seorang sahaja yang bernama Ramli dan menaiki kereta Mercedes belum dapat kami kesan,” katanya di sini semalam.

Katanya, rakan-rakan bapa mendakwa tidak mengenali lelaki bernama Ramli itu dan mereka cuma mendengar nama itu yang sering disebut bapa ketika bersembang.

“Mereka hanya tahu Ramli yang naik Mercedes. Sekiranya benar Ramli ini rakan baik yang mengenali ayah, sudah tentu dia akan menghubungi kami untuk mengetahui perkembangan ayah yang hilang.

“Jika tiada apa-apa di sebaliknya, tentu Ramli ini akan menghubungi kami tetapi sehingga kini tiada dan kami tidak pasti sama ada Ramli ini wujud atau pun tidak, tetapi kami akan akan terus mencarinya,” ujarnya.

Dakwanya, ramai individu kononnya daripada agensi tertentu cuba menghubungi bapanya selepas bersara sebagai pegawai kanan kewangan di Felcra, namun nombor itu digunakannya.

Sementara itu, katanya, satu lagi kejadian pelik dikesan apabila jejak bapanya hilang sebaik tiba di hadapan Sekolah Kebangsaan Kuala Pegang, di sini antara pukul 3 hingga 4 pagi, 4 September lalu.

“Kami mengesyaki ayah dilarikan seseorang kerana telefon bimbitnya juga dimatikan,” jelasnya.

Katanya, keluarga juga berikhtiar dengan melakukan solat hajat dan bacaan Yasin termasuk di masjid-masjid bagi meminta petunjuk Allah serta usaha pencarian bapa dipermudahkan.

“Kami juga berikhtiar melalui perubatan secara Islam dan alternatif lain, termasuk dari Sarawak dan Ipoh. Seramai 15 orang yang telah kami temui dan hubungi untuk membantu usaha pencariannya, namun rata-ratanya mengatakan ayah masih hidup tetapi telah ‘dipegang’ oleh seseorang,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI