fbpx

Penetapan gaji premium graduan TVET RM2,500 hingga RM4,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid pada sidang akhbar selepas sesi libat urus antara 66 syarikat berkaitan kerajaan GLC dan syarikat swasta bersama 12 kementerian berkaitan TVET di Putrajaya hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA- Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) bersetuju menetapkan gaji premium kepada lepasan bidang itu pada kadar antara RM2,500 hingga RM4,000.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penetapan kadar gaji itu melebihi daripada pendapatan minimum RM1,500 yang ditetapkan kerajaan ketika ini.

Katanya, ketetapan dibuat itu adalah bagi menarik lebih ramai lepasan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk bekerja di sektor berkaitan.

“Saya ingin menjelaskan bahawa ini bukan ikut persatuan majikan, persatuan kilang atau sebagainya, ini adalah antara institusi TVET dengan pihak syarikat itu sendiri.

“Setakat ini, kita sudah mengadakan memorandum perjanjian (MoA) dengan majikan yang mana gaji premium dipersetujui melebihi gaji minimum ditetapkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan MTVET dan Sesi Libat Urus 66 Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta Syarikat Swasta bersama 12 kementerian TVET di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, sebagai satu tambah nilai kepada para peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang akan diperkenalkan semula kerajaan, elemen TVET akan diterapkan dalam modul PLKN.

Katanya, ia sebagai satu pendekatan menyebar luas potensi dan bidang kerjaya berteraskan TVET kepada para peserta.

“Institusi TVET yang memenuhi kriteria keperluan PLKN turut dicadang untuk melaksanakan modul dengan melibatkan para pelajar institusi tersebut sebagai para peserta.

“Kita ambil keputusan bahawa kursus itu bukan dibuat secara mendalam, tetapi lebih kepada ‘DIY’ seperti pembaikan paip, pendingin hawa dan peralatan elektrik lain.

“Ini dipersetujui pada dasarnya dan akan diperincikan oleh sebuah jawatankuasa kecil,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI