KLUANG – Anak masyarakat India yang tercicir dalam pelajaran termasuk tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berpeluang melanjutkan pelajaran melalui pembelajaran TVET tanpa melalui ujian bertulis seperti kebiasaannya.
Dengan adanya peluang itu, mereka turut berpeluang melangkah ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) setelah menamatkan pembelajaran dengan jayanya dalam TVET.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peluang ini juga diberikan kepada semua kaum tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang parti.
Katanya, melihat kepada rekod ketidak hadiran pelajar dalam peperiksaan SPM tahun lalu, terdapat 10,000 yang tidak mendudukinya dan dilihat terdapat kelemahan pada sudut itu.
“Mereka tidak mengambil SPM berkemungkinan tiada kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira selain terpaksa kerja sendiri.
“Oleh yang demikian, semua pihak diseru untuk bersama saya memastikan tidak berlaku keciciran dalam kalangan murid di negara ini,” katanya.
Zahid berkata demikian dalam ucapannya ketika menghadiri majlis ramah mesra bersama Masyarakat India DUN Mahkota di Pusat Gerakan Barisan National di Taman Sri Kluang malam semalam.
Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswarawan.
Menurut Zahid lagi, pihaknya juga sudah berbincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya satu ujian khas tanpa bertulis kepada anak-anak ini bagi membolehkan mereka memasuki kolej TVET.
Ujarnya, semua ini akan dimulakan akhir tahun ini untuk memberi peluang kepada pelajar yang tercicir pelajaran atau tidak berminat meneruskan pembelajaran di Tingkatan empat.
“Oleh yang demikian, walaupun tiada SPM, tidak bermakna ” tiada hari esok” kerana dengan adanya pembelajaran dalam TVET ini diyakini mampu mengubah kehidupan mereka,”Katanya.- KOSMO! ONLINE