ALOR SETAR – Kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menutup premis perniagaan milik GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) di negeri ini jika didapati melanggar syarat lesen niaga mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, namun sehingga kini PBT terlibat belum mengesan sebarang aktiviti melanggar syarat lesen niaga itu di beberapa premisnya.
“Kita, selagi tak dibuktikan bersalah, kita tak jatuh hukum kepada depa sebab perniagaan mereka sebelum ini kita nampak bersih tak ada apa. Selagi tidak disiasat, dibuktikan bersama pihak berkuasa mereka boleh beroperasi.
“Kita akan teruskan kecuali premis itu contohnya, dia buka restoran tiba-tiba dalam restoran itu dia buat benda lain sebagai restoran. Itu kesalahan daripada segi premis, kita boleh tamatkan lesen premis,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Menaik Taraf dan Mengurus Terminal Shahab Perdana di Menara Alor Setar, di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya turut menyerahkan kepada pihak berkuasa seperti polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.
“Sebab itu bukan bidang kita nak pi siasat dia kan? Ada pihak-pihak lain lah siasat seperti polis, pihak lain siasat. Kita hanya sediakan premis saja dan kalau terbukti kata benda tu dia buat salah di dalam premis tersebut jadi kita boleh tamatkan.
“Setakat sekarang kita tak dapat arahan untuk nak pergi menyiasat. Kita tidak mahu buat kerja orang lain, PBT bukan kerja itu. Kalau dia dapat laporan kita akan ambil tindakan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE