PETALING JAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) digesa untuk memantau tindakan sesetengah hotel yang menetapkan masa daftar masuk yang lewat dan daftar keluar awal.
Menerusi tinjauan di media sosial, topik tersebut hangat dibincangkan dalam kalangan netizen yang rata-ratanya meluahkan perkara tersebut merupakan salah satu sebab mereka tidak gemar bercuti di dalam negara.
Seorang pengguna aplikasi X, Hakim H berkata, kerajaan perlu campur tangan dalam perkara itu sekiranya mahu rakyat membantu sektor pelancongan di negara ini.
“Daftar masuk pukul 4 petang, daftar keluar pukul 11 pagi bagi saya melampau. Atau kita kempen boikot hotel yang buat polisi ini. Siapa setuju, apa pandangan?,” katanya.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna setuju dengan cadangan tersebut selain menggesa pihak berwajib lakukan sesuatu terhadap hotel yang menetapkan peraturan sesuka hati.
“Alasan yang paling tak munasabah tukang cuci tak sempat buat kerja, jadi pelanggan kena ikut masa yang ditetapkan,” kata Zafran.
“Dulu sebelum Covid-19 daftar masuk pukul 2 petang, selepas itu ramai tak cukup kaki tangan tukar ke pukul 3 petang. Mesti kes terpencil tetapi saya setuju MOTAC kena pantau perkara begini,” kata ZulGerman.
“Harga makin mahal tapi tempoh duduk hotel jadi singkat pula. Alasan tak cukup masa nak kemaskan bilik, tapi aku tengok bukan kau tukar cadar pun, kemas alat dalam bilik air dan lap lantai hingga kering saja,” kata Datinroro.
“Sebab itu aku lebih suka bercuti di Hatyai, tak ada nak kalut-kalut,” kata Niehsa. – KOSMO! ONLINE