DENGKIL – Seorang suri rumah terpaksa mengambil tanggungjawab mengurus keluarga selain mencari rezeki bagi menampung rawatan suaminya yang kini terlantar koma selepas diserang strok bulan lalu.
Noraskian Abdul Jabar, 43, dari Kampung Lalang di sini berkata, suaminya, Haikal Jamal, 60, yang merupakan bekas pengawal keselamatan sudah tidak lagi bekerja sejak April.
Katanya, dia berniaga nasi lemak dan kuih-muih di tepi jalan bagi menampung perbelanjaan keluarga termasuk seorang anak perempuan berusia 12 tahun.
“Ibarat jatuh ditimpa tangga. Itulah keadaan kami sekarang, lebih-lebih lagi setelah suami tidak lagi bekerja kerana terlantar koma hampir sebulan di Hospital Cyberjaya.
“Saya seakan tidak percaya melihat suami yang tidak lagi memberikan tindak balas fizikal. Pada mulanya, suami hanya demam biasa, namun keesokan hari saya terus menelefon ambulans apabila melihat keadannya yang semakin lemah,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Noraskian yang berasal dari Negeri Sembilan berkata, dia mula menjual nasi lemak kira-kira lima tahun lalu bagi membantu suami dengan pendapatan kira-kira RM80 sehari.
Sehubungan itu, dia amat mengharapkan sumbangan daripada orang ramai dan memohon Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar dapat mempertimbangkan bantuan bersesuaian yang boleh diberikan kepadanya bagi menguruskan suami.
Jelasnya, ketika ini mereka hanya menerima bantuan di bawah kategori asnaf daripada Lembaga Zakat Selangor yang membayar wang sewa rumah setiap bulan sebanyak RM700.
“Suami masih lagi berada di hospital dan saya sedang menguruskan proses untuk membawanya pulang, tetapi doktor pakar sarankan supaya keperluan seperti katil, tilam khas, probe suction, tiub trakea serta susu khas untuk pesakit harus disediakan terlebih dahulu,” katanya.
Menurut Noraskian, dia telah menerima sebuah set katil termasuk tilam khas hasil kutipan sumbangan daripada ibu bapa di sekolah anaknya, Nur Halisha Balqis, di Sekolah Kebangsaan (SK) Jenderam Hilir.
Sementara itu, guru SK Jenderam Hilir, Muhammad Shahrom Shafie, berkata, sejurus mengetahui keadaan yang menimpa bapa Nur Halisha, dia terus memaklumkan situasi itu kepada ibu bapa murid yang lain untuk memohon sumbangan selain menyenaraikan jenis-jenis kelengkapan yang diperlukan oleh pesakit strok.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional atas nama Noraskian Abdul Jabar bernombor 0113329000033334 atau boleh menghubunginya di talian 017-650 2480.