ALOR SETAR – Kerajaan negeri mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) lebih awal sebagai menghadapi fasa peralihan monsun dijangka bermula esok.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, pusat tersebut beroperasi secara berterusan dengan skala kecil melalui kerjasama agensi berkaitan.
“PKOB ini kita memang beroperasi untuk kes kecil tetapi bila ada kes besar kita terus aktifkan di setiap daerah yang akan dipengerusikan oleh pegawai daerah.
“Kita bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Apabila berlaku bencana kita sudah mempunyai kaedah berdasarkan pengalaman sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Menaik taraf dan Mengurus Terminal Bas Shahab Perdana di Menara Alor Setar, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Mansor, pihaknya mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri ini agar sentiasa melakukan pemantauan terhadap pokok yang berisiko untuk tumbang.
“Pokok ini kita tak boleh tebang atau potong sesuka hati, tujuan kita tanam adalah untuk landskap, yang kedua untuk tahan angin. Kalau pokok itu menyebabkan bahaya condong dan sebagainya, nampak membahayakan, barulah kita bagi arahan tebang,” katanya.. – KOSMO! ONLINE