fbpx

IOI City cari calon imam, bilal kemudi solat harian dan Jumaat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar iklan jawatan imam dan bilal yang dimuat naik di sebuah platform mencari kerja.

PETALING JAYA – Pusat beli-belah IOI City, Putrajaya sedang mencari calon imam dan bilal bagi melaksanakan solat harian dan Jumaat di musalla berkenaan.

Menerusi tangkap layar jawatan yang diiklan di sebuah platform mencari kerja, antara skop kerja jawatan imam selain mengetuai solat jemaah adalah menyampaikan khutbah.

Selain itu, imam juga bertanggungjawab untuk mengetuai solat khas seperti terawih dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri serta mengemudi program keagamaan di musalla terbabit.

Bagi skop kerja bilal pula, individu tersebut perlu melaungkan azan lima kali sehari termasuklah solat Jumaat selain perlu membantu menyusun sejadah buat para jemaah.

Bagaimanapun, gaji yang ditawarkan tidak dinyatakan dalam iklan kerja berkenaan.

Iklan itu bagaimanapun tular di media sosial sehingga mendapat lebih 7,300 ulang ciap, 10,000 tanda suka dan 664,000 tontonan di aplikasi X.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang memuji tindakan pusat beli-belah tersebut yang dianggap menitikberatkan tentang ibadah buat umat Islam.

“Mantap IOI, lepas ni akan terus ‘support’ datang pusat beli-belah mesra ibadah ni,” komen Ashu.

“Ni termasuk Subuh sekali ke? Alamak siapa pula jemaahnya, mungkin mereka yang tengok wayang sampai pukul 3 pagi kot,” komen Fika.

“Syabas kepada pengurusan pusat beli-belah IOI kerana mengambil inisiatif untuk membesarkan surau dan memohon kebenaran Jabatan Islam Selangor untuk mendirikan solat Jumaat,” komen Omar pula.

Terdahulu, mulai 6 September 2024 pengunjung boleh menunaikan solat Jumaat di musalla pusat beli-belah IOI City, Putrajaya.

Menerusi hantaran di Facebok pusat beli-belah IOI City memaklumkan, solat Jumaat itu mendapat kerjasama daripada Pejabat Agama Islam Sepang (PAID).

“Solat Jumaat akan bermula 6 September 2024 pada pukul 12 tengah hari hingga 3 petang yang terletak di musalla Arah Timur.

“Inisiatif ini memberi kemudahan lebih baik kepada Jemaah lelaki,” kata hantaran itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI