PETALING JAYA – Tindakan pelakon Farah Ahmad yang sering mengetengahkan isu sensitif atau dianggap tabu dalam kalangan masyarakat sering mengakibatkannya sering berdepan kritikan netizen.
Bagaimanapun akui Farah atau nama lengkapnya Nur Farahaizah Ahmad Zaharuddin, 46, dia tidak mempedulikan komen negatif netizen kerana menganggap setiap individu mempunyai hak untuk meluahkan pandangan masing-masing.
“Pada saya isu yang dianggap ‘tertutup’ atau mereka (masyarakat) fikir tabu sebenarnya bagi saya tidak adil buat masyarakat. Apabila kita bercakap tentang isu sensitif seperti seks atau buah dada, perkara sebegitu tidak boleh disentuh atau diperkatakan sehingga masyarakat tidak diajar tentang apa yang perlu dan apa yang tidak.
“Kehidupan ini semua ini ada terkait dengan sains dan matematik, perkara itu juga ada dinyatakan dalam al-Quran. Tujuan saya hanyalah sekadar berkongsi informasi kepada masyarakat sahaja.
“Saya tidak terlalu mengambil kisah tentang kata-kata masyarakat kerana kita semua mempunyai hak untuk meluahkan pandangan masing-masing lebih-lebih lagi di media sosial,” katanya kepada HibGlam.
Bagi mengatasi situasi itu, Farah mengambil pendekatan positif dan menganggap setiap kritikan membuatkan dia lebih cekal mengharungi kehidupan.
“Saya sudah tidak terlalu mempedulikan kata-kata mereka (netizen) sebab dugaan Tuhan bagi pada saya lagi besar. Jadi saya tidak terlalu fikir apa yang mereka katakan (kritikan). Bukan sahaja mereka mempunyai hak bersuara, saya juga ada hak untuk memberi reaksi terhadap apa yang mereka katakan.
“Walau apa pun saya tetap mendoakan yang terbaik buat mereka. Bagi saya mereka ini insan terpilih oleh Allah untuk mengajar kita menjadi lebih kuat. Saya tidak pandang rendah kepada mereka sebab ini semua ada dalam takdir Allah.
“Apabila dalam siaran langsung di TikTok mereka menegur tentang pemakaian tudung, saya hanya membalas Allah memberikan hidayah kepada orang lain lebih awal daripada saya. Insya-Allah kita doakan yang baik-baik untuk semua,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Farah bakal muncul dengan pementasan teater bertajuk Kerana Percayakan Siti.
Bakal berlangsung di Blackbox Damansara Performing Arts Centre (DPAC) pada 4 hingga 6 Oktober depan, teater tersebut merupakan kompilasi karya arahan pengarah Afiza Asram.
“Tiga karya tersebut ialah Perempuan Perang, Terang Malam dan Sabalik Baju. Saya akan terlibat dalam pementasan Sabalik Baju bersama Swarna Naidu.
“Naskhah ini akan bercakap tentang penjagaan buah dada dalam kalangan wanita,” katanya.
Tiket pementasan boleh didapati melalui www.cloudjoi.com bermula pada harga RM60 hingga RM100.
Diterbitkan oleh Nur Farahaizah Ahmad Zaharuddin, selain Farah pementasan tersebut turut dibintangi oleh Nadia Brian, D’Boy Hamdan, Sharifah Sofia, Firdaus Karim dan Anwar Rusdini. – KOSMO! ONLINE.