MANCHESTER – Bintang pertahanan baharu Arsenal, Riccardo Calafiori membalas kepercayaan Mikel Arteta menyenaraikannya dalam kesebelasan utama dengan meledak satu gol ketika seri 2-2 dengan Manchester City di Stadium Etihad semalam.
Sebelum pertandingan berlangsung, ramai mempersoalkan taktikal Arteta yang menggugurkan bek kanan kegemarannya, Ben White daripada kesebelasan utama buat kali pertama dalam tempoh dua tahun sejak Mei 2022.
Tindakan Arteta, 42, kerana mahu menggunakan Jurrien Timber sebagai pertahanan kanan, manakala Calafiori di sebelah kiri bagi mengekang dua pemain sayap lincah City, Jeremy Doku serta Savinho untuk aksi tersebut.
Calafiori, 22, yang dibeli daripada Bologna musim ini, tampil mencetuskan impak hebat dengan menjaringkan gol cantik daripada luar kotak penalti untuk menyamakan kedudukan 1-1 buat Arsenal pada minit ke-22.
“Aksi ini cukup sukar. Kami bermain dengan sangat bagus tetapi separuh masa kedua begitu mencabar dan mendebarkan. Ia lebih menguji aspek mental daripada fizikal kami untuk perlawanan ini.
“Saya sangat gembira kerana berjaya menjaringkan gol pertama buat pasukan. Cumanya saya sedikit terkilan kerana kami gagal memenangi perlawanan ini,” kata tonggak pertahanan Itali itu.
Penjaga gol Arsenal, David Raya turut cemerlang apabila menafikan percubaan City ketika beraksi dengan 10 pemain sepanjang babak kedua untuk mempertahankan kedudukan 2-1 selepas Leandro Trossard dibuang padang di hujung separuh masa pertama.
Bagaimanapun, impian Raya untuk memastikan The Gunners menewaskan City di Etihad sejak Januari 2015 tidak kesampaian apabila John Stones meledak gol penyamaan ketika aksi berbaki enam saat sebelum tamat. – AGENSI