LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot menganggap tiga elemen menjadi penyumbang terbesar kepada kemenangan 3-0 ke atas Bournemouth pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield malam kelmarin.
Selain kecemerlangan Luis Diaz yang menghasilkan dua jaringan, ketangkasan penjaga gol, Caoimhin Kelleher serta konsistensi Darwin Nunez juga menjadi faktor lain kepada kejayaan The Reds kali ini.
“Sentuhan penyudahnya (Diaz) cukup hebat, namun kedua-dua jaringan itu terhasil menerusi gerakan yang berbeza. Prestasi Nunez juga menjadi perkara yang saya perasan dan inilah yang saya mahu lihat.
“Konsistensi akan diraih dalam dua situasi iaitu menerusi kerja berpasukan dan kadar kerja yang dilakukan oleh seseorang pemain. Pada awalnya, saya persoalkan kenapa Nunez lakukan rembatan tetapi dia mungkin pemain yang lebih baik berbanding saya.
“Adalah bagus buat kami untuk memiliki Caoimhin (Kelleher) kerana dia menunjukkan aksi tangkas untuk menyelamatkan kami. Alisson Becker pernah melakukannya tetapi tidaklah sebanyak apa yang Caoimhin pada perlawanan ini,” katanya.
Dalam masa sama, Slot juga mengakui Bournemouth adalah pasukan degil dan sentiasa bermotivasi untuk menghadirkan kesukaran buat The Reds.
“Mereka tunjukkan kepada kami, walaupun ketinggalan 0-3 tetapi mereka terus mengasak dan ia nyata menyukarkan kami. Mereka mencipta banyak peluang dan sebenarnya adalah sesuatu yang agak pelik kerana kami tidak bolos dalam perlawanan ini,” jelasnya. – AGENSI