LUMUT – Dua maut apabila sebuah lori merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 202 Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan dekat sini, awal pagi tadi.
Pemandu dan kelindan lori terlibat, Razali Sahad, 48, dan Muhammad Alizzat Narayi, 28, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata lori seberat lima tan metrik tersebut dipercayai membawa barangan pejabat dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu.
Beliau memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.33 pagi dan sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian.
“Apabila tiba di lokasi, didapati terdapat dua mangsa pemandu dan penumpang lori telah tersepit dan disahkan maut di lokasi kejadian oleh pihak petugas kesihatan yang berada di situ,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, tindakan Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Azmi Mohd Yusof ialah mengarahkan anggota mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.
Jelasnya, sebaik kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan, pihaknya menyerahkan mayat mereka kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.05 pagi. – KOSMO! ONLINE