PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pagi ini melaporkan keadaan cuaca adalah balik dan tiada hujan hampir di seluruh negara.
MetMalaysia dalam laporan cuacanya berkata, bagaimanapun hujan sedang berlaku di beberapa tempat di sekitar kawasan melibatkan Kuantan dan juga Pekan, Pahang yang mana dijangkakan akan beransur pulih dalam sedikit masa lagi.
“Bagi lain-lain kawasan di Semenanjung Malaysia keadaan cuaca adalah baik dan tiada hujan buat masa ini.
“Sementara itu di Sabah dan Sarawak pula mendapati, hujan sedang berlaku di kebanyakan tempat melibatkan bahagian Bintulu, Mukah, Kapit, Sibu dan juga Betong,” katanya di sini hari ini.
Katanya, keadaan hujan yang sedang berlaku ini dijangka berlanjutan sehingga ke lewat pagi nanti manakala di Sabah pula keadaan cuaca adalah baik di hampir semua bahagian buat masa ini.
Dalam pada itu, MetMalaysia menjangkakan pada sebelah petang nanti hujan lebat dan angin kencang masih lagi berpotensi untuk berlaku melibatkan hampir kesemua negeri di Semenanjung Malaysia terutamanya di bahagian Pedalaman dan Pantai Barat Semenanjung.
“Di Sabah dan Sarawak pula, hujan dijangka berlaku di sekitar bahagian Pedalaman, Pantai Barat dan Sandakan di Sabah termasuk di sekitar bahagian Limbang, Kapit dan Kuching.
“Oleh itu, dinasihatkan kepada semua agar sentiasa peka dan cakna dengan keadaan cuaca semasa,” ujarnya.
Tambahnya, didapati ketika ini angin masih bertiup dari pelbagai hala dengan kelajuan agak sederhana sekitar 20 hingga 30 kilometer sejam.
“Oleh yang demikian tiada amaran angin kencang dan laut bergelora dikeluarkan oleh MetMalaysia buat masa ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE