KOTA BHARU – Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah menggunakan sebilah parang ke atas seorang rakan yang mengganggu rumah tangganya hingga berlaku perceraian pada minggu lalu.
Tertuduh, Afandi Mahadi, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada Nizam Sulaiman, 58, dengan menggunakan sebilah parang.
Perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah rumah di Kampung Tok Dosah, Perupok dekat Bachok kira-kira pukul 4.20 petang pada 17 September lalu.
Afandi didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingha 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser Amri.
Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri mencadangkan ikat jamin RM20,000 kerana tertuduh menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah.
Ahmad Adha memohon satu jaminan kerana kes tersebut berlaku disebabkan mangsa mengganggu rumah tangga anak guamnya sehingga berlaku perceraian.- KOSMO! ONLINE