fbpx

Banjir Kedah: Hujan lebat, air pasang bertembung punca bah besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suasana banjir di sekitar Kampung Alor Ali di Pendang.- Foto oleh SHAHIR NOORDIN

JITRA – Pertembungan hujan lebat dan fenomena air pasang selama empat hari bermula Rabu lalu dipercayai menjadi punca berlaku banjir skala lebih besar di Kedah pada tahun ini, berbanding sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keadaan dilihat semakin pulih di kebanyakan kawasan apabila hujan berkurangan dan fenomena air pasang besar berakhir.

“Ini banjir kedua terburuk pernah berlaku di Kedah selepas 2010. Sebab kejadian ini berlaku dipercayai akibat hujan banyak di kawasan luas yang bertembung dengan fenomena air pasang besar di laut.

“Apabila keadaan itu berlaku, air tersekat kerana tidak dapat mengalir ke laut dan itulah yang menyebabkan banjir kali ini agak besar dan berlangsung dalam tempoh agak lama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Seri Indera Putera, di sini hari ini.

Sementara itu Muhammad Sanusi berkata, ketika ini terdapat enam projek mitigasi banjir yang sedang dalam pelaksanaan di Kedah melibatkan kos lebih RM512 juta.

Katanya, ia melibatkan RTB Sungai Kedah di Anak Bukit, RTB Bandar Jitra Selatan, RTB Baling, RTB Pendang pakej satu dan dua serta projek pembinaan infrastruktur sabo di Sungai Kupang, Baling.

Selain itu katanya, terdapat enam lagi projek dalam proses perolehan dan reka bentuk dengan kos sebanyak RM309 juta melibatkan RTB Baling fasa satu, RTB Sungai Bongkok di Kuala Muda dan RTB Bandar Baharu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI