MUTAKHIR ini, perjuangan wanita untuk menuntut hak mereka sebagai ketua di sektor swasta mahupun kerajaan sedang giat berlangsung.
Mengulas tentang hal tersebut, Puteri Nur Alisha Zulkifli, 23, berkata, untuk menjadi pemimpin organisasi, seseorang wanita itu perlu berjaya memimpin diri sendiri terlebih dahulu.
“Untuk menjadi pemimpin organisasi, kita perlu mempunyai kualiti seperti cemerlang dalam akademik, kokurikulum serta aktif dengan aktiviti kemasyarakatan.
“Semasa bersekolah, saya aktif dalam persatuan seperti Pandu Puteri Tunas dan Kelab Kebudayaan, saya juga aktif dalam tarian tradisional seperti zapin dan inang,” katanya.
Untuk makluman, gadis yang mesra disapa Alisha itu merupakan pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Perdagangan di Management & Science University (MSU), Shah Alam, Selangor.
Alisha juga berpendapat, seorang pemimpin perlu aktif bersukan, malah dia sendiri pernah mewakili sekolah dalam bola jaring, hoki, bola lisut dan bola tampar hingga mampu bergelar juara di peringkat daerah.
Jelasnya lagi, zaman persekolahan sememangnya era seseorang individu membina jati diri sebagai insan yang mempunyai cita-cita untuk berjaya.
“Menjadi atlet memerlukan kita menjaga masa dengan bijak agar tidak kepenatan untuk menelaah pelajaran.
“Disiplin serta keazaman untuk tidak mahu gagal dalam akademik dan sukan telah membentuk diri saya pada hari ini,” katanya.
Alisha yang merupakan penyokong tegar kelab bola sepak Inggeris, Liverpool berkata, dia sentiasa positif dalam menjalani kehidupan seharian.
“Untuk berjaya dalam sesuatu perkara, fikiran perlu fokus dengan keutamaan sebagai pelajar.
“Jangan memikirkan sesuatu yang bukan menjadi masalah kita. Contohnya, dunia politik.
“Pada saya, biarlah orang politik bermain politik kerana ia di luar skop tanggungjawab kita,” ujarnya.
Alisha yang gemar bergambar menegaskan, aktiviti politik tidak menjadi fokus utama yang ingin diceburinya buat masa ini.
Jelasnya, dia lebih bercita-cita menjadi ketua organisasi pekerjaan yang mempunyai ramai kakitangan.
“Setelah tamat belajar, saya ingin terus bekerja sebagai penasihat undang-undang di mana-mana organisasi swasta atau awam.
“Jika saya ingin menjadi peguam, saya perlu mengambil peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) kerana kursus yang saya ambil ini tidak boleh terus jadi pengamal undang-undang bertauliah,” ujarnya.
Alisha juga berpendapat, generasi muda perlu mencari tapak yang kukuh dalam membina kehidupan kerana dewasa ini, kos hidup semakin tinggi.
Dia yang mempunyai keluarga terlibat dengan bisnes kecantikan berkata, kewangan diri perlu distabilkan sebelum seseorang itu mengambil keputusan untuk membina keluarga.
“Zaman belajar di MSU, saya menuntut pelbagai ilmu akademik dan bukan akademik yang membentuk karakter saya sebagai individu yang mampu memimpin orang lain.
“Selain bersaing dengan manusia, kita juga perlu mahir dengan teknologi informasi dan komunikasi termasuk kecerdasan buatan (AI).
“Masa muda jangan disia-siakan dengan aktiviti tidak sihat hingga menjejaskan masa depan,” katanya.
Dalam pada itu, dia bangga kerana golongan wanita kini mampu melakukan kerja yang secara tradisinya dikuasai kaum Adam.
Kerjaya seperti ahli politik dan polis semakin ramai disertai golongan wanita sebagai ketua atau menteri.
“Ada juga golongan wanita menjadi pemandu kenderaan berat membawa muatan berpuluh tan.
“Apa yang penting, setiap orang tanpa mengenal jantina bersedia untuk belajar dan meneroka bidang baharu.
“Jika pendapatannya tinggi, apa salahnya mencuba nasib demi keluarga,” jelasnya.
Gadis manis yang gemar membeli-belah (shopping) dan ‘food hunting’ itu memberitahu, bagi menghilangkan tekanan setelah penat belajar, dia suka melakukan kedua-dua perkara tersebut.
Dia menganggap membeli-belah sebagai terapi yang baik.
Ujarnya, kadang-kadang, pakaian yang dibeli hanya dipakai sekali, walaupun proses untuk memilih memakan masa lama.
“Kebelakangan ini, aktiviti saya adalah bermain TikTok sekadar suka-suka. Pengikut pun hanya 200 orang.
“Apa yang penting, masa lapang jangan dibiarkan diri kita memikirkan perkara yang bukan menjadi masalah kita.
“Jadilah diri sendiri kerana kita tahu kemampuan diri setakat mana,” katanya sebelum menutup bicara.