fbpx

‘Alhamdulillah, Syamsul sihat, selalu balik rumah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mentua Puteri Sarah iaitu Patimah tidak menyangka menantunya pandai berlawak

KUALA LUMPUR – Isteri pengarah Datuk Yusof Haslam iaitu Datin Patimah Ismail memberikan sokongan penuh kepada menantu, Puteri Sarah Liyana yang menyertai pertandingan Muzikal Lawak Superstar musim keempat (MLS4) semalam.

Patimah yang hadir ke minggu pertama MLS4 yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, berkata, dia tidak menyangka Puteri Sarah mempunyai bakat melawak di atas pentas.

“Saya tidak sangka dia boleh melawak. Tetapi sebenarnya dia di rumah juga kelakar. Lepas itu, dia yang menjadi bahan (usikan).

“Hari ini (semalam) saya hadir sendiri bersama kawan-kawan sementara Datuk Yusuf Haslam mempunyai urusan lain dan tidak dapat datang,” katanya ketika ditemui pada MLS4 semalam.

Tambah Patimah, dia berusaha untuk hadir dan meluangkan waktu untuk menonton persembahan pada setiap minggu.

“Insya-Allah jika diberikan kesihatan saya akan datang setiap minggu.

“Tetapi saya rasa menonton di televisyen di rumah saja mungkin sudah memadai nanti,” katanya.

Puteri Sarah merupakan anggota kumpulan Gebu yang turut dianggotai oleh Mamak Puteh dan Ilham Abata.

Sebanyak 10 kumpulan bersaing untuk merebut gelaran juara MLS4 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 bersama trofi sumbangan Astro.

Program yang bersiaran secara langsung menerusi saluran Astro Warna itu turut menampilkan Saiful Apek, Harith Iskander dan Anna Jobling sebagai juri sementara Datuk AC Mizal bertindak sebagai pengacara.

Dalam perkembangan lain, ibu pengarah Syamsul Yusof itu turut meluahkan rasa syukur dengan kepulangan anak sulungnya ke pangkuan keluarga.

Kata Patimah, Syamsul kini kerap meluangkan masa pulang ke rumah keluarga setiap kali selesai waktu bekerja.

“Alhamdulillah, Syamsul sihat. Dia sudah selalu balik ke rumah.

“Lepas habis kerja selalunya dia akan singgah ke rumah dahulu. Dia sekarang ada kerja di Kompleks Studio Merdeka Finas (Hulu Kelang).

“Jadi dia selalunya pulang. Memang saya akan masak lauk kegemaran dia, mungkin sebab dia rindu sudah lama tidak pulang ke rumah,” katanya. – HIBGLAM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI