PUTRAJAYA – Pemain industri vape tempatan, yang menyumbangkan lebih RM100 juta setahun dalam bentuk cukai kepada negara memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil langkah intervensi berhubung peraturan ditetapkan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Permintaan itu disuarakan gabungan lima persatuan vape tempatan yang mewakili lebih 2,000 pemain industri menerusi memorandum yang dihantar kepada Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, di sini sebentar tadi.
Antara persatuan vape yang menyerahkan memorandum itu termasuk Malaysia e-Vaporizers and Tobacco Alternative Association, Malaysia Retail Electronic Cigarette Association, Dewan Perniagaan Vape Malaysia, Malaysian Vape Industry Advocacy dan Persatuan Peniaga Vape Melayu.
Menurut Presiden Malaysia Retail Electronic Cigarette Association (MRECA), Datuk Adzwan Manas, pihaknya begitu berharap agar Perdana Menteri dapat mengambil langkah bersesuaian berkaitan garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) yang dilihat mereka sebagai bersifat ‘menghukum’ kepada industri sebelum pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober depan.
“Hari ini, kita daripada lima persatuan vape menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri untuk nyatakan hasil taklimat dibuat KKM baru-baru ini.
“Kami merasakan ada sebahagian garis panduan yang disampaikan oleh pihak KKM tidak menepati keperluan industri kami.
“Jadi, kami merasakan perlu wujudnya satu kajian semula di mana harus ada sesi libat urus yang dilaksanakan secara telus bersama pemain industri vape,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Antara intipati taklimat KKM kepada industri berkenaan peraturan yang bakal diperkenalkan pada bulan Oktober 2024 di bawah Akta 852 adalah pelaksanaan larangan produk dilihat di kedai serbaneka dan juga had isipadu cecair vape terjual yang tidak boleh melebihi tiga mililiter (ml) untuk pod, kartrij dan pakaibuang (disposable), serta tidak boleh melebihi 15ml untuk botol.
Adzwan berharap agar Perdana Menteri dapat memberi pertimbangan bersesuaian memandangkan rata-rata pemain industri adalah dalam kalangan anak-anak muda yang mahu berjaya sebagai seorang usahawan.
“Kami dimaklumkan bahawa peraturan akan diwarta dan dikuatkuasakan bermula bulan hadapan. Ini dilihat sebagai sesuatu yang tidak adil bagi pemain industri.
“Ini kerana, tempoh diberikan terlalu singkat tanpa sebarang proses peralihan untuk industri membuat persediaan dan ia begitu memberi kesan kepada pihak industri,” katanya.
Bercakap mengenai garis panduan ditetapkan KKM, Adzwan berkata, yuran dikenakan sebanyak RM5,000 bagi mendaftarkan produk atau perasa vape dilihat sebagai terlalu tinggi.
“Pihak pemain industri ada membuat kajian berkaitan perkara ini, di mana kita boleh membayar yuran bagi pendaftaran produk antara RM500 ke RM900.
“Keadaan ini berikutan pemain industri ada banyak bayaran yang perlu dibuat, antaranya kepada SIRIM Berhad yang memerlukan belanja besar sekitar RM20,000 hingga RM50,000 untuk kelulusan sesuatu produk,” katanya.
Pada masa sama, penetapan isipadu tidak melebihi tiga ml untuk pod, kartrij dan produk pakai buang selain 15ml untuk botol juga disifatkan sebagai satu tindakan drastik.
Menurutnya, rata-rata pemain industri kurang bersetuju dengan dengan kandungan ditetapkan, sebaliknya memberi cadangan supaya ia dikurangkan secara berperingkat.
“Rata-rata produk sekarang ialah 30ml hingga 60ml, kalau terlalu drastik, kita akan ada masalah.
“Jadi, kami mohon ia dibuat secara berperingkat, yang mana peralihan itu mungkin boleh dilaksanakan dalam tempoh dua tahun sehingga mencapai sasaran dimahukan KKM,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Vape Malaysia, Ridhwan Rosli berkata, larangan untuk produk dilihat ditempat jualan akan memberi kesan kepada industri khususnya peruncit.
Jelasnya, larangan itu akan menyebabkan peruncit perlu mengeluarkan kos tinggi bagi mengubahsuai kaunter dan rak daripada dilihat untuk mematuhi peraturan ditetapkan.
Tambahnya lagi, setakat ini, belum ada mana-mana negara yang membuat larangan seperti itu bagi produk vape.
“Ini kerana produk vape berbeza daripada rokok tembakau dan diiktiraf sebagai produk yang kurang mudarat berbanding rokok.
“Peraturan melarang vape dilihat atau ditunjukkan di tempat jualan ini tidak patut dikenakan kerana memberikan mesej yang salah kepada perokok dan pengguna, serta membebankan operasi perniagaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE