SEPANG – Video tular di media sosial yang memaparkan sebuah kenderaan awam kononnya sedang diiring kereta peronda polis (MPV) adalah tidak benar.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya mengesahkan MPV itu dinaiki anggota ronda dari Balai Polis Dengkil, selain ia hanyalah rekaan dan ditularkan semata-mata untuk mencari publisiti.
“Siasatan awal bagaimanapun tidak dapat mengesahkan tarikh dan masa sebenar kejadian itu dirakam. Namun, difahamkan MPV itu dalam tugasan rondaan dan lampu beacon dipasang ketika aliran trafik tidak sesak.
“Bagaimanapun, MPV itu diekori sebuah kenderaan awam yang kemudian merakam situasi itu kononnya sedang diiring oleh sebuah MPV,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Wan Kamarul Azran berkata, siasatan mendapati, video itu ditularkan oleh pemilik akaun Instagram ‘rayng899’, semalam.
Katanya, pihaknya ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan apa-apa spekulasi dan tidak berkongsi berita yang tidak benar mengenai kejadian ini. – KOSMO! ONLINE