PETALING JAYA – “Daddy rindulah Al-Fateh, rindu yang tiada penghujung.
Itu antara luahan Mejar Ir. Ts, Mohd. Fikry Amri Abdul Halim, bapa kepada bayi lelaki, Muhammad Al Fateh Amri yang meninggal dunia di sebuah taska di Alor Gajah, Melaka awal bulan lalu.
Bayi berusia lapan bulan itu dilaporkan meninggal dunia akibat lemas selepas pengasuhnya didakwa membedung mangsa, menyumbat botol susu dan menekupnya dengan bantal.
Menurut Mohd. Fikry Amri, 39, ketika ini hanya video yang menjadi pengubat keluarganya kepada Al-Fateh.
“Daddy rindukan Al-Fateh, rindu yang tiada penghujungnya. Semoga kita dapat berjumpa lagi di syurga ya anak.
“Daddy bersyukur sangat dapat merasai kehadiran Al-Fateh walaupun lapan bulan. Hanya video sebagai peneman dan pengubat rindu,”tulisnya.
Terdahulu, Kosmo! pada 7 September lalu melaporkan bayi lelaki berusia lapan bulan, Muhammad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri disahkan meninggal dunia di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah Melaka.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, hasil laporan bedah siasat yang diperolehi daripada Unit Forensik Hospital Alor Gajah mengesahkan punca kematian mangsa adalah kerana lemas dipercayai perbuatan pengasuh di taska berkenaan.
Tindakan tidak berhati perut itu terbongkar selepas dia bersama-sama pihak polis melakukan pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan. – KOSMO! ONLINE