fbpx

Terbuka China: Sze Fei-Izzuddin genggam kejuaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SZE FEI (kanan) dan Izzuddin menambah koleksi kejuaraan selepas membenam Ji Ting-Xiang Yu di perlawanan akhir Terbuka China sebentar tadi - AFP

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani memastikan sekurang-kurangnya satu gelaran dibawa pulang selepas muncul juara pada Kejohanan Badminton Terbuka China.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Gimnasium Xincheng, Changzhou sebentar tadi, pasangan No.12 dunia itu berjaya membenam beregu tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu menerusi aksi tiga set 13-21, 21-12, 21-17.

Kemenangan diraih Sze Fei-Izzuddin sedikit sebanyak mengubat kekecewaan seluruh rakyat Malaysia selepas beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai tewas pada aksi yang berlangsung lebih awal.

Turun berdepan pilihan kelima kejohanan, Sze Fei-Izzuddin yang memenangi gelaran Terbuka Jepun bulan lalu seolah-olah hilang punca di set pertama apabila membenarkan pemain lawan mendahului dengan jurang mata cukup besar 6-0.

Walaupun cuba untuk mengejar, namun beregu China tampak lebih unggul apabila melakukan serangan bertali arus ke arah pasangan negara, termasuk pukulan smash kencang untuk mendahului 15-6 sebelum memastikan kemenangan 21-13.

Bagaimanapun, perlawanan tertangguh seketika apabila pasukan perubatan dipanggil bagi memberikan rawatan kepada Xiang Yu yang dilihat bergelut dengan kecederaan di bahagian belakangnya.

Memasuki set kedua, Sze Fei-Izzuddin tampil dengan aksi lebih kemas apabila bermula garang dengan mendahului 8-4, sekali gus memberi tekanan kepada China yang bergelut dengan kecederaan belakang dialami Xiang Yu.

Beregu tuan rumah cuba mengejar apabila merapatkan kedudukan 6-11, namun gagal untuk menyekat kebangkitan Malaysia yang terus menjarakkan jurang mata 16-7 sebelum memastikan kemenangan 21-12 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.

Kemenangan di set kedua seolah-olah membangkitkan semangat baharu Sze Fei-Izzuddin apabila memulakan set ketiga dengan langkah kanan menerusi kedudukan 4-1 yang meletakkan China dalam tekanan.

Ji Ting-Xiang Yu yang tidak sanggup tewas di laman sendiri kemudiannya cuba melakukan kebangkitan dan mengejar kedudukan Sze Fei-Izzuddin, namun masih ketinggalan 6-11.

Malaysia meletakkan kedudukan dalam keadaan cukup selesa apabila berjaya mendahului 20-16 sebelum melengkapkan kemenangan 21-17 biarpun cuba diberikan tentangan sengit oleh beregu No.7 dunia itu.

Selaku juara, Sze Fei-Izzuddin membawa pulang hadiah wang tunai AS$148,000 (RM622,340) berserta trofi manakala Ji Ting-Xiang Yu berpuas hati dengan AS$70,000 (RM294,350) dan juga trofi.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memenangi Terbuka China dalam acara beregu lelaki adalah menerusi gandingan adik-beradik, Jalani dan Razif Sidek yang melakukannya pada edisi 1989. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI